Piala Dunia 2018 menyaksikan penggunaan sistem ‘Video Assistant Referee’ (VAR) buat kali pertama dalam sejarah kejohanan tersebut, terutamanya semalam, apabila teknologi tersebut digunakan untuk memberi sepakan penalti buat pasukan Perancis ketika menentang Australia, dan pasukan Peru ketika menentang Denmark.
Secara asas, VAR digunakan untuk empat perkara – jaringan gol, sepakan penalti, kad merah, dan untuk memastikan pengadil tidak keliru dengan identiti pemain, seperti yang dilakukan oleh Graham Poll di Piala Dunia 2006, apabila beliau memberi tiga kad kuning kepada pemain yang sama.
Namun, apa proses yang dilalui oleh pengadil perlawanan jika mahu menggunakan sistem VAR dalam sesebuah perlawanan?
Isyarat VAR dari pengadil perlawanan
Proses pertama ketika hendak menggunakan VAR adalah untuk pengadil perlawanan memberikan tanda isyarat. Pengadil akan menggunakan kedua tangannya untuk membentuk segi empat, menyerupai skrin VAR yang digunakan untuk melihat ulang tayang sesebuah insiden.
Menuju ke arah Referee Review Area (RRA)
Setelah memberikan isyarat tersebut, pengadil perlawanan dikehendaki berjalan ke arah kawasan di antara bangku simpanan kedua-dua pasukan, di mana ada sebuah skrin untuk melihat ulang tayang insiden. Kawasan ini hanya boleh diakses oleh pengadil perlawanan sahaja.
Turut boleh mendengar nasihat/cadangan dari pasukan VAR
Namun, pengadil perlawanan juga boleh mengambil keputusan untuk tidak melihat skrin di RRA. Pengadil juga mampu menggunakan 'earphone' di telinga untuk berkomunikasi dengan pasukan pengadil yang mengendalikan sistem VAR di Moscow, untuk mendapatkan nasihat atau cadangan.
Pasukan VAR mengandungi lapan individu.
Ini dia individu-individu yang bekerja dari bilik operasi VAR di Moscow. Individu yang duduk di tengah merupakan petugas yang mengendalikan sistem VAR, dan dia dibantu oleh tiga pembantu (dua duduk disebelahnya, manakala seorang lagi berdiri dibelakang). Selain itu, empat lagi individu ditugaskan memilih ulang tayang dari sudut yang terbaik untuk ditayangkan kepada pengadil perlawanan.
Petugas VAR turut memakai pakaian seragam pengadil
Walaupun tidak bekerja di atas padang, petugas VAR masih mempunyai tanggungjawab sama berat dengan pengadil perlawanan yang bertugas di atas padang. Oleh demikian, petugas VAR dipilih dari kalangan pengadil dan dikehendaki memakai pakaian seragam yang digunakan oleh pengadil perlawanan.
33 skrin di bilik operasi pasukan VAR
Untuk memastikan tugas mereka dapat dijalankan dengan baik, pasukan VAR diberi akses kepada 33 skrin yang menunjukkan ulang tayang sebuah insiden dari sudut pandang yang berbeza. Sebagai contoh, lapan daripada 33 kamera tersebut memberi perspektif Super Slow Motion, manakala empat lagi skrin menunjukkan ulang tayang versi Ultra Slow Motion. Pasukan yang mengendalikan skrin ulang tayang bertanggungjawab untuk memilih ulang tayang yang terbaik untuk pengadil perlawanan dan pasukan VAR.
Beroperasi dari Pusat Penyiaran Internasional
Pasukan VAR tidak beroperasi dari stadium. Mereka beroperasi dari satu lokasi yang sama untuk satu bulan ini, iaitu Pusat Penyiaran Internasional, ataupun International Broadcast Center. Dari IBC, segala informasi disalurkan ke stadium-stadium yang menjadi tuan rumah untuk sesebuah perlawanan.
Pengadil bukan setakat melihat ulang tayang
Selain melihat ulang tayang sebuah insiden, pengadil perlawanan juga mampu melihat grafik-grafik yang disediakan oleh pasukan VAR untuk memberi gambaran yang lebih jelas tentang sesebuah insiden. Grafik tersebut boleh digunakan oleh pengadil dalam proses membuat keputusan.
Penonton diberi akses kepada Picture in Picture (PIP)
Untuk membantu penonton memahami proses VAR, skrin utama di setiap stadium akan berubah menjadi Picture in Picture (PIP) yang dibahagi kepada tiga skrin. Skrin utama menunjukkan ulang tayang insiden tersebut, skrin kedua menunjukkan pergerakan pengadil perlawanan, manakala skrin ketiga pula menunjukkan situasi semasa di bilik operasi VAR.
Warna di skrin VAR
Kita sudah melihat perkara ini pada tiga hari pertama. Ada sebuah skrin di bilik operasi pasukan VAR yang sering bertukar warna dari kuning, merah dan hijau. Ketiga-tiga warna memiliki erti masing-masing. Kuning bermakna perlawanan dihentikan sementara kerana pengadil ingin melihat ulang tayang VAR. Merah bererti informasi dari pasukan VAR telah disampaikan dan sedang dipertimbangkan oleh pengadil. Hijau bermakna pengadil telah membuat keputusan berdasarkan informasi yang diperolehi dari pasukan VAR.
Informasi keputusan pengadil dan sistem VAR
Satu saat selepas pengadil membuat keputusannya selepas menganalisis informasi yang diberikan oleh pasukan VAR, skrin utama di stadium akan menyediakan informasi berkenaan keputusan yang diambil. Kita boleh melihat perkara ini di bahagian bawah skrin. Contohnya PENALTY - Foul, sekiranya pengadil memberi sepakan penalti.