Walaupun diarahkan untuk melangsaikan tunggakan gaji untuk 24 orang pemainnya berjumlah lebih RM762,000, pihak pengurusan Kuantan FA seolah-olah merasa tidak bersalah dalam hal ini sebaliknya menyalahkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kerana menggantung pasukan itu pada bulan lalu.
Malah Timbalan Presiden Kuantan FA, Datuk Wan Solihin Wan Hassan menganggap, keputusan Jawatankuasa Status FAM itu seolah-olah langsung tidak mengambil kira keadaan yang dihadapi pihak pengurusan kelab tersebut.
“FAM minta kami bayar tunggakan gaji pemain, bukan kami tak mahu bayar tapi soalnya di sini, bagaimana kami nak bayar sedangkan pasukan Kuantan FA sudah digantung. Bagaimana kami nak dapatkan duit untuk bayar?
“Pada saya ini keputusan tak logik. Kalau kami tak bayar, mereka akan ambil tindakan, tindakan apa lagi yang mereka nak ambil jika mereka sudah gantung Kuantan FA? Jika FAM mahu bawa perkara ini ke mahkamah, kami bersedia jumpa di mahkamah,” katanya kepada Berita Harian.
Kuantan FA diberikan tempoh 30 hari untuk menyelesaikan segala tuntutan bagi mengelak perkara itu dibawa ke Jawatankuasa Tatatertib FAM di bawah Artikel 67 Kod Tatatertib FAM untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.
Tambah Wan Solihin, masalah itu dapat dielakkan jika MFL boleh memberi ruang kepada mereka untuk mendapatkan penajaan sebelum ini.
“Kita berusaha sebelum ini untuk membayar gaji pemain dengan mendapatkan penaja baru, tapi bila kita nak tandatangani kontrak dengan penaja baru, mereka gantung kami, jadi mana kami nak cari duit? Sekarang terpulang kepada FAM untuk ambil tindakan, bukan kami tak nak bayar tapi kami sudah tidak ada sumber kewangan lagi,” katanya.