Piala MFL tidak akan dipertandingkan pada musim 2025-2026 selepas hanya dua tahun diadakan.
Keputusan itu dibuat selepas 13 Rakan Kongsi Liga Super sebulat suara bersetuju untuk memansuhkan saingan bawah 23 tahun itu menerusi perbincangan dalam pertemuan pada 19 Februari 2025.
MFL mendapati pihak kelab menanggung perbelanjaan tinggi dari segi pembayaran gaji pemain dan operasi logistik sehingga mencecah RM28 juta bagi kos yang ditanggung keseluruhan kelab Liga Super.
“Dengan mengambil kira pandangan semua Rakan Kongsi Liga, MFL percaya keputusan untuk memansuhkan saingan Piala MFL ini perlu diambil dalam usaha untuk mengukuhkan dan menstabilkan semula kedudukan kewangan kelab.
“Malah MFL bersama Rakan Kongsi Liga juga bersetuju bahawa pada usia pemain 20 hingga 23 tahun adalah tempoh pemain muda sudah mula bersaing mendapatkan tempat dalam skuad utama berbanding bermain dalam pertandingan peringkat umur.”
Pembangunan pemain muda akan diteruskan oleh Piala Presiden (bawah 20 tahun) dan Piala Belia (bawah 18 tahun) anjuran FAM.