Malaysia Berita

Rob Friend CEO baharu Harimau Malaya

FAM hari ini mengumumkan Robert Douglas Friend atau lebih dikenali sebagai Rob Friend dari Kanada sebagai CEO Pasukan Kebangsaan, sekali gus peneraju utama dalam struktur organisasi baharu bagi revolusi skuad Harimau Malaya.
Berasal dari Rosetown, Saskatchewan, Canada, Rob Friend yang bakal berusia 44 tahun pada 23 Januari depan hadir dengan portfolio hebat menerusi penglibatannya dalam bidang pengurusan dan pentadbiran bola sepak selepas beliau bersara sebagai pemain pada Disember 2014.
Friend bermula sebagai rakan kongsi pengurusan di DRG Investment Group, sebuah syarikat pelaburan dan pengurusan hartanah dari 2014 sehingga kini.
Dari 2017 hingga 2021, beliau menjadi pengasas Toca Football Canada, teknologi latihan khusus bola sepak dan keluar dengan penuh berjaya apabila peningkatan modal syarikat berkenaan mencecah AS$150 juta.
Bermula 2019 hingga sekarang, Friend merupakan rakan kongsi pengurusan di SixFive Sports Fund, badan pelaburan dalam bola sepak profesional dan infrastruktur melalui pemilikan kelab, stadium dan pembangunan kemudahan latihan.
Antara penglibatan terbesar beliau ialah menjadi salah seorang pengasas bersama liga bola sepak profesional Kanada, Canadian Premier League (CPL) dan berjaya meningkatkan nilai liga tersebut dari AS$0 sehingga AS$300 juta dalam tempoh enam tahun.
Friend juga pernah menerajui kepimpinan tertinggi pengurusan dan pentadbiran dua kelab yang beraksi di CPL iaitu sebagai CEO dan pengasas bersama Pacific FC dari 2019 hingga 2022 serta sebagai Presiden dan pengasas bersama Vancouver FC dari 2022 hingga kini.
Beliau banyak terlibat dalam menerajui penubuhan dan pembangunan strategik kelab, termasuk pembangunan stadium dan pusat latihan, menyelia semua aspek operasi kelab, termasuk pembelian pemain, pelantikan kakitangan kejurulatihan, rundingan penajaan serta pengurusan kewangan yang membawa kepada peningkatan ketara terhadap nilai kelab terbabit.
Pelbagai pengalaman yang dimiliki beliau ketika sebagai pemain serta dalam bidang pengurusan dan pentadbiran diharap mampu memberikan satu suntikan baharu dalam menguruskan perancangan dan program membabitkan pasukan kebangsaan terutama skuad senior dan B-23 kebangsaan pada tempoh permulaan ini.
Friend juga akan memastikan struktur organisasi baharu ini akan dilengkapi dengan tenaga-tenaga kerja yang berkualiti dan berpengalaman dalam pelbagai aspek yang diperlukan demi menyediakan satu pasukan kebangsaan yang mantap.
Beliau akan memulakan tugasan secara rasmi di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Januari 2025.