Mats Deijl tidak melepasi syarat kelayakan untuk mewakili negara, kata FAM.
Ini meskipun pemain dari Belanda itu telah menunjukkan minat beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia dan dimaklumkan bahawa Mats mempunyai darah keturunan Malaysia.
Sejak bulan Jun, FAM telah pun dapat menghubungi secara rasmi kelab, ejen dan Mats sendiri bagi membincangkan mengenai kelayakan beliau.
Hasil perbincangan, Mats telah memberikan dokumen-dokumen berkaitan susur galur keluarganya yang menunjukkan beliau mempunyai hubung kait dengan negara Malaysia termasuk sijil lahir beliau, ayahnya, datuknya sebelah ayah serta pengesahan kelahiran moyangnya sebelah ayah iaitu ibu kepada datuk pemain tersebut.
Namun, berdasarkan dokumentasi-dokumentasi yang telah dilampirkan, didapati bahawa pemain berusia 27 tahun itu hanya mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang beliau dan bukannya melalui datuk atau nenek sepertimana yang ditetapkan dalam syarat FIFA.
“Berdasarkan semakan, pemain ini mempunyai darah keturunan Malaysia melalui moyang (ibu kepada datuk pemain) yang telah lahir di Singapura pada 24 Jun 1893, yang mana Singapura merupakan sebahagian dari Tanah Melayu ketika itu.
“Bagi mendapatkan pengesahan secara rasmi berkenaan kelayakan pemain ini, FAM pada 23 September 2024 telah menghantar surat kepada FIFA bagi mendapatkan pandangan FIFA mengenai status pemain ini yang ingin mewakili Malaysia melalui darah keturunan moyangnya (ibu kepada datuk pemain).
“FIFA melalui surat bertarikh 25 September 2024 telah menghantar maklum balas mengenai perkara ini dan memaklumkan bahawa pemain ini tidak dapat mewakili pasukan kebangsaan Malaysia disebabkan darah keturunan Malaysia adalah daripada moyangnya ibu kepada datuk pemain dan bukan di peringkat datuk atau nenek pemain seperti mana syarat ditetapkan oleh FIFA.
Ini dengan merujuk kepada Artikel 8 Peraturan-Peraturan Yang Mengawal Permohonan Statut FIFA berkaitan kelayakan mewakili pasukan kebangsaan, mana-mana pemain boleh mewakili sesebuah negara jika pemain tersebut memenuhi syarat seperti berikut.
Pertama, pemain itu lahir di negara tersebut; atau kedua, ibu pemain dan ayah pemain lahir di negara tersebut; atau ketiga, datuk dan nenek pemain lahir di negara tersebut; atau keempat, pemain itu menetap di negara tersebut melebihi tempoh lima tahun.
FAM bagaimanapun tetap berterima kasih kepada pemain ini atas minat dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh beliau untuk mewakili pasukan kebangsaan Malaysia, namun ia tidak dapat direalisasikan.
FAM juga sudah berhubung dengan beberapa pemain lain seperti mana yang dicadangkan atau dihebahkan di platform media sosial, namun setakat ini tiada yang positif terutama dari segi dokumen kesahihan pemain tersebut memiliki darah keturunan Malaysia yang melepasi syarat ditetapkan oleh FIFA.