Malaysia Berita

Senarai pemain Malaysia hadapi Pestabola Merdeka 2024

Ketua jurulatih kebangsaan yang baharu, Pau Marti mengumumkan senarai pemain yang akan menyertai kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bermula Khamis, 29 Ogos 2024 bagi menghadapi Pestabola Merdeka 2024 Edisi Ke-43 yang akan berlangsung di Stadium Nasional, Bukit Jalil dari 4 hingga 8 September 2024.

Pau yang mengambil alih tugas selaku ketua jurulatih kebangsaan selepas peletakan jawatan Kim Pan-gon pada 16 Julai lalu telah mengekalkan seramai 18 daripada 26 pemain dari skuad bagi dua perlawanan terakhir Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang Kyrgyzstan dan Taiwan pada 6 dan 11 Jun 2024.

8 pemain baharu yang kembali disenaraikan ialah penjaga gol, Ahmad Syihan Hazmi, Arif Aiman, Romel Morales, Afiq Fazail, Azam Azmi Murad, Darren Lok, Harith Haiqal dan Syafiq Ahmad.

Skuad Harimau Malaya akan turun beraksi untuk perlawanan pertama Pestabola Merdeka 2024 iaitu Separuh Akhir menentang Filipina pada Rabu, 4 September 2024, jam 9.00 malam. Satu lagi perlawanan Separuh Akhir menemukan Lubnan dan Tajikistan pada hari yang sama, jam 4.30 petang.

Pemenang kedua-dua perlawanan tersebut akan bertemu di Final pada Ahad, 8 September 2024, jam 9.00 malam manakala dua pasukan yang tewas pada Separuh Akhir akan bertemu untuk perlawanan Penentuan Tempat Ketiga pada hari sama, jam 4.30 petang.

Senarai pemain

GK: Syihan Hazmi, Azri Ghani, Kalamullah Al-Hafiz

DF: Matthew Davies, Dion Cools, Feroz Baharudin, Corbin-Ong, Azam Azmi, Dominic Tan, Daniel Ting, Harith Haiqal, Adib Ra’op, Safwan Mazlan

MF: Paulo Josue, Endrick, Afiq Fazail, Syamer Kutty Abba, Zhafri Yahya, Nooa Laine

W:  Arif Aiman, Safawi Rasid, Akhyar Rashid, Haqimi Azim

ST: Romel Morales, Darren Lok, Syafiq Ahmad