Selangor mengumumkan pelantikan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih Gergasi Merah bagi musim 2024/2025.
Kali terakhir jurulatih berusia 43 tahun itu berkhidmat sebagai ketua jurulatih adalah ketika bersama Felda pada musim 2020.
“Kami telah membuat penilaian secara terperinci dan kolektif, serta melihat keupayaan yang telah ditunjukkan oleh Nidzam semasa beliau berkhidmat sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk musim-musim sebelum ini,” kata CEO Selangor, Dr. Johan Kamal Hamidon.
“Nidzam mempunyai pengalaman luas dalam bola sepak Malaysia, memahami budaya dan hala tuju kelab serta amat mengenali para pemain Selangor. Bagi kami, beliau adalah insan yang tepat untuk mengisi kekosongan ini dan mengetuai cabaran Selangor bagi musim 2024/2025.”
Antara pencapaian beliau sebagai pemain Gergasi Merah adalah kejayaan menjulang Piala FA 2001, Piala Sumbangsih dan Piala Malaysia pada tahun 2002.
Pada November 2021, Nidzam Jamil secara rasmi kembali bagi menabur bakti kepada skuad Merah Kuning setelah bersetuju untuk menjadi penolong ketua jurulatih pasukan untuk musim 2022 bagi membantu Michael Feichtenbeiner.
Pada tahun yang sama, beliau juga telah dilantik sebagai ketua jurulatih interim untuk beberapa perlawanan dan kembali sebagai Penolong Ketua Jurulatih untuk tahun seterusnya selepas pelantikan Tan Cheng Hoe pada ketika itu.
“Pihak pengurusan amat berbangga dan berbesar hati mengumumkan Nidzam Jamil sebagai Ketua Jurulatih rasmi yang baru skuad SFC. Semoga dengan pelantikan serta kepercayaan ini, Nidzam Jamil dapat membuktikan keupayaan beliau sebagai Ketua Jurulatih yang disegani di Malaysia dan juga di pentas Asia bersama Selangor.”