Malaysia Berita

MFL, AEON BIG raikan 150 pelajar dalam Program Back to School 2024

MFL dengan kerjasama rakan penaja rasmi Liga Malaysia, AEON BIG hari ini menyampaikan sumbangan kepada 150 pelajar daripada tiga buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Sri Sinar, Sekolah Kebangsaan Segambut Makmur dan Sekolah Kebangsaan Segambut dalam Program Back to School 2024 yang diadakan di AEON BIG Kepong.

Program yang turut mendapat kerjasama dan sokongan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh menyaksikan 150 pelajar yang terlibat menerima baucar AEON BIG bernilai RM200 setiap seorang untuk kegunaan membeli barangan kelengkapan persekolahan.

Turut hadir menyerahkan sumbangan adalah Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan, Ahli Lembaga Pengarah MFL, Mohd Joehari Ayub, Senator Datuk Hisamudin Yahaya, Datuk Marzuki Sulong dan Dato’ Mohamed Suffian Awang, Pengarah Urusan AEON BIG (M) Sdn Bhd, Sheikh Faroukh Sheikh Mohamed dan CEO MFL, Datuk Stuart Ramalingam.

“Saya gembira kerana turut dijemput hadir untuk menyaksikan penyaluran bantuan kepada 150 anak-anak daripada keluarga yang kurang berkemampuan hari ini,” kata Hannah.

“Setiap penerima yang dikenal pasti oleh pihak pengurusan sekolah masing-masing telah diberi bantuan sebanyak RM200 seorang dengan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30,000 untuk program ini.

Terima kasih kepada MFL atas sumbangan yang diberikan bagi membantu meringankan beban ibu bapa dalam persediaan anak-anak
untuk sesi persekolahan 2024 yang baharu.”

Datuk Ab Ghani berkata, ini kali pertama MFL menganjurkan program Back to School dengan kerjasama AEON BIG sebagai usaha MFL untuk mendekatkan lagi dengan masyarakat setempat.

“Bagi pihak MFL, ini adalah satu program yang cukup Istimewa di mana MFL dapat menyumbangkan sesuatu kepada masyarakat setempat.

“Pastinya program ini memberikan mesej yang baik di mana hubungan MFL dan AEON BIG bukan sekadar atas nama rakan penaja di pentas Liga Malaysia malah kerjasama ini membolehkan kami bergerak seiring dalam melaksanakan tanggung jawab sosial,” katanya.

Bagi Sheikh Faroukh Sheikh Mohamed, Program Back to School dalah program Istimewa untuk pelanggan AEON BIG di mana mereka dapat menyokong semangat pelajar-pelajar untuk terus berjaya.

“Program Back to School anjuran AEON BiG ini berjalan selama hampir sebulan bermula 16 Februari hingga 15 Mac iaitu sebelum sesi persekolahan bermula. Kami menyediakan diskaun kepada semua pelanggan AEON BiG.

Program ini boleh dinikmati di kesemua 21 cawangan AEON BiG, manakala
diskaun yang diberi adalah antara 10 peratus hingga 20 peratus, merangkumi semua barangan yang diperlukan oleh kanak-kanak.

“Kami mempunyai lebih kurang hampir 400 barangan yang dijual meliputi
pelbagai kategori merangkumi uniform sekolah, kasut, alat tulis, baju sukan dan lain-lain kelengkapan persekolahan.

“Penganjuran program Back to School ini diyakini dapat meringankan beban golongan ibu bapa terutamanya yang kurang berkemampuan dalam menyediakan keperluan persekolahan untuk anakanak dalam sesi persekolahan pada tahun ini.

“Inisiatif itu secara langsung dapat menyuntik semangat belajar dan berjaya dalam kalangan pelajar.”