Kedua-dua pasukan JDT dan Terengganu menyatakan rasa kurang puas hati terhadap keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil menjelang Final Piala Malaysia 2023 esok.
Ini susulan rumput yang ditaja oleh Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengalami kerosakan selepas stadium itu menganjurkan konsert Coldplay.
“Ia (keadaan padang) tidak sempurna tapi tidak apa, kita akan lihat keadaannya pada Jumaat ini,” kata jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner dalam sidang media hari ini.
“Tapi kita mungkin akan bergelut untuk menghasilkan aksi yang baik.”
Jurulatih JDT, Esteban Solari menyifatkan keadaan padang ketika ini tidak sepatutnya berlaku terutama apabila ia merupakan rumput yang ditaja sendiri oleh TMJ.
“Kita bersedia untuk beraksi dalam apa jua keadaan padang, perlawanan ini sememangnya sukar tapi walaupun dengan keadaannya ketika ini, kita bersedia hadapinya.
“Sudah tentu, keadaan padang ini tidak berada dalam keadaan yang baik, bos kami (TMJ) sudah melabur duit yang banyak untuk tingkatkan kualiti bola sepak Malaysia.
“Saya rasa kita perlukan kerjasama daripada semua pihak dan harap kita boleh belajar bagaimana kita boleh uruskan perkara ini dengan lebih baik di masa akan datang. Padang yang baik akan memberi manfaat kepada bola sepak Malaysia.”
Kapten JDT, Jordi Amat pula mengakui tidak berpuas hati dengan keadaan padang ketika ini.
“Saya harap keadaan padang ini bertambah baik kerana secara jujurnya, saya tidak begitu gembira dengannya. Tapi kita akan lihat, kita harap padang ini dapat bantu kita.
“Sebab di tengah-tengah padang itu, boleh nampak rumput-rumputnya tidak begitu melekat dengan tanah.
“Jadi, kita akan tengok masa kami jalani latihan nanti, mungkin masa kita guna nanti, kita akan elak guna kawasan itu.
“Tapi di sebalik semua ini, ia bukan alasan. kami perlu sesuaikan diri dengan keadaan padang ini.”