Selangor didenda RM23,000 meliputi tiga pertuduhan berbeza akibat insiden melontar batu dan membaling botol air.
Ia diputuskan Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam mesyuarat kali ke-14 bagi penggal 2021-2025 yang diadakan di Wisma FAM, Kelana Jaya hari ini.
Dalam kesemua pertuduhan, Selangor melanggar Artikel 53, Artikel 70, perenggan 1 dan Artikel 68 Kod Tatatertib FAM yang dibaca bersama Artikel 69 Kod Tatatertib FAM semasa perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023, Selangor lawan Terengganu di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.
“Pertuduhan pertama akibat cermin belakang kereta pegawai perlawanan pecah kerana dilontar dengan sebiji batu semasa diletakkan di kawasan parkir berhadapan pentas utama stadium.
“Pertuduhan kedua akibat satu insiden baling botol air yang datang dari kawasan tempat duduk penonton ke arah pegawai pertandingan, didapati gagal untuk mematuhi obligasi penganjuran sehingga menyebabkan kejadian yang tidak diingini berlaku seperti cermin kereta pegawai perlawanan pecah, insiden baling botol dari tempat duduk penonton ke arah pegawai perlawanan, insiden baling botol oleh pegawai Selangor ke arah kumpulan pengadil dalam terowong semasa bergerak ke bilik persalinan.
“Pertuduhan ketiga gagal memastikan keselamatan kumpulan pengadil selepas perlawanan.”
Hukumannya Selangor didenda RM10,000 bagi pertuduhan pertama, RM3,000 bagi pertuduhan kedua dan RM10,000 bagi pertuduhan ketiga serta diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama dan keputusan ini tidak boleh dirayu.