Jaringan 3 gol dalam separuh masa kedua untuk meraih kemenangan 4-3 ke atas Kyrgyzstan dalam kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menunjukkan mentaliti sebenar pemain negara.
Malah, kemenangan itu dianggap satu kejutan kerana berjaya menewaskan negara ke-97 dunia dalam ranking FIFA berbanding Malaysia yang berada di tangga ke-137 dunia.
“Saya hargai pemain-pemain yang beraksi, mereka menunjukkan sesuatu iaitu mentaliti Malaysia,” kata jurulatih negara, Kim Pan-gon.
“Sebagai jurulatih, ini satu perlawanan yang sangat sukar, mula-mula kita pergi ke syurga, kemudian kita pergi ke neraka, selepas itu kita bangkit dari ketinggalan.
“Saya tidak suka perlawanan seperti ini tetapi ia berlaku, akhirnya kita menang dan menggembirakan rakyat Malaysia.”
Katanya, Malaysia bermula dengan baik di separuh masa pertama apabila menjaringkan gol dan menguasai permainan, mengikut perancangan pasukan.
Namun segala-galanya berubah sebelum separuh masa pertama berakhir apabila dibolosi 2 gol.
“Sebelum separuh masa kedua, saya beritahu pemain, kita mesti tahu siapa kita, kita bukan berada di tahap tertinggi, kita mesti melayan mereka dengan hormat dan merendah diri.
“Saya suka ada keyakinan, tetapi kita tidak boleh terlalu yakin atau sombong, kita mesti rendah diri dan menghormati pasukan ke-97 dunia, ia pengajaran yang baik untuk kita.”
Jelasnya, pemain beraksi dengan jauh lebih di separuh masa kedua.
“Ia adalah perlawanan yang menakjubkan, sangat sukar untuk mengharapkan keputusan seperti ini tetapi saya cakap dengan pemain bahawa saya boleh membantu kamu membuat persediaan tetapi di atas padang ia semua bergantung kepada kamu, saya tidak dapat membantu lebih daripada itu.
“Kita hanya mempunyai 45 minit lagi, terpulang kepada mereka, mereka boleh membuat serangan atau kita tidak layak ke pusingan kedua kelayakan.
“Semuanya bergantung kepada pemain jadi saya sangat bangga dengan mereka dan keputusan yang diraih, mereka memberi reaksi yang baik, mereka mengawal diri terutama dalam minit-minit akhir perlawanan.”
Katanya, kemenangan itu juga menunjukkan Malaysia sudah bangkit daripada kekalahan final Pestabola Merdeka 2023 kepada Tajikistan bulan lalu.
“Separuh masa kedua kita boleh lihat mentaliti Malaysia, mereka tidak pernah berputus asa dalam apa jua situasi, mereka belajar dari kesilapan, mereka pandang ke hadapan, sebab itu saya sangat bangga dengan pemain.”
Katanya, kemenangan ini akan digunakan sebagai asas strategi untuk perlawanan-perlawanan berikutnya.
“Kita belajar sesuatu daripada perlawanan ini, kita tahu apa yang perlu kita lakukan, kalau kita tidak beraksi dengan baik, kita tidak akan layak ke pusingan seterusnya, kita mahu bersaing dengan 18 negara terbaik di Asia yang mencabar tempat di Piala Dunia, ini yang kita mahukan.
“Jadi, ini satu keputusan yang baik, harapnya perlawanan di tempat lawan tidak begitu sukar, kerana persekitarannya berbeza dan lebih banyak tekanan.
“Tetapi dengan persiapan baik kita boleh lakukannya, tapi jika tidak dapat bawa pulang 3 mata, kita kemungkinan tidak layak untuk ke pusingan seterusnya, jadi kita mesti menang.”