Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin menyifatkan saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 lebih menjadi keutamaan berbanding Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.
Ini kerana, katanya, skuad negara akan memperoleh lebih banyak mata dan dapat melawan pasukan ranking lebih tinggi jika layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia 2026.
“Saingan Piala Asia di Qatar bukanlah sesuatu yang tidak mustahak kerana setelah 42 tahun kita sudah layak dan ia satu kejayaan bermain di sana,” kata Hamidin dalam sidang media.
“Namun, jika dapat layak ke peringkat seterusnya bagi Kelayakan Piala Dunia 2026, kita boleh cipta sejarah iaitu pasukan kita dapat jadi 18 pasukan terbaik dan bermain 10 perlawanan bertaraf dunia, halaman sendiri dan tempat lawan,” katanya pada sidang media di sini hari ini.
Malaysia akan memulakan saingan Kumpulan D pusingan Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 menentang pasukan ke-97 dunia Kyrgyzstan, Khamis ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Malaysia di kedudukan ke-137 dunia, dijadual bertemu pasukan ke-72 dunia Oman di tempat lawan dan sendiri tahun hadapan masing-masing pada 21 dan 26 Mac, bertemu Kyrgyzstan di Bishek pada 6 Jun dan menentang Taiwan pada 11 Jun di Malaysia.
Dua pasukan terbaik kumpulan akan layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia dan layak ke Piala Asia, manakala pasukan di tempat ketiga dan keempat akan beraksi dalam pusingan ketiga kelayakan Piala Asia.
Bagi saingan pusingan ketika kelayakan Piala Dunia, 18 pasukan yang layak akan dipecahkan kepada tiga kumpulan dengan dua pasukan terbaik akan mara ke Piala Dunia 2026.
Pasukan ketiga dan keempat setiap kumpulan pula akan layak ke pusingan keempat kelayakan dan dipecahkan kepada dua kumpulan dengan juara setiap kumpulan layak ke Piala Dunia 2026 manakala naib juara akan beraksi dalam pusingan playoff menentang pasukan dari benua lain.
Piala Dunia 2026 akan dihoskan Kanada, Mexico dan Amerika Syarikat secara bersama dengan format baharu 48 pasukan, berbanding 32 pasukan sebelum ini.
Juara tiga kali Arab Saudi akan menjadi tuan rumah Piala Asia buat kali pertamanya pada 2027.
Bagi pusingan akhir Piala Asia 2023, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.