Malaysia Berita

Hamidin: Kita tak mahu Malaysia dibuli di Piala Asia 2023

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin memberi jaminan akan membantu skuad kebangsaan membuat persiapan rapi supaya tidak dibuli apabila beraksi di Piala Asia 2023 nanti.

Ini kerana, Malaysia hampir pasti akan bertemu dengan negara-negara gergasi bolasepak Asia seperti Jepun, Korea Selatan, Australia, Iran dan Arab Saudi.

Justeru, Hamidin berkata FAM akan berbincang dengan jurulatih kebangsaan, Kim Pan-gon mengenai perancangan pasukan termasuk mengadakan perlawanan persahabatan dengan pasukan yang lebih besar dan tidak lagi menumpukan kepada pihak lawan dari Asia Tenggara.

“Kita tak boleh bermain dalam ASEAN lagi,” katanya kepada Berita Harian.

“Saya nak lihat kita pergi lebih jauh dan Kim Pan-gon sudah menyiapkan persiapan untuk setahun dan saya yakin dia tahu apa yang dia buat.

“Apabila masuk ke pusingan akhir Piala Asia kita tak nak dibuli. Mungkin kedudukan teratas ada pasukan kuat seperti Korea Selatan, Jepun dan Australia, tapi biarlah kita melawan.”

Katanya, persiapan itu bagi memastikan Malaysia dapat pergi jauh dan bukan sekadar menyertai Piala Asia.

“Kita perlu lihat pasukan ini akan dipersiapkan dalam tempoh setahun lagi. Jika kita bermain 2023, kemungkinan juga bermain 2024 selepas tuan rumah akan dibincangkan pada Oktober depan.

“Kalau 2024 lagi bagus, maknanya kita ada persiapan dan persiapan kali ini adalah lebih komprehensif yang mana kita perlu untuk membawa pasukan Malaysia lebih jauh lagi.”