Piala Malaysia Berita

Malaysia lawan Kyrgyzstan kekal di Stadium Nasional Bukit Jalil

Malaysia lawan Kyrgyzstan akan kekal dilangsungkan di Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 16 November ini.

Ia disahkan oleh FAM sempena perlawanan pembukaan Kumpulan D, Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.

“Ketetapan itu dibuat selepas sesi pemeriksaan dan penilaian keadaan terkini padang di stadium berkenaan pada Khamis lalu (2 November 2023),” kata Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman.

“Pihak PSM menerusi pandangan dan nasihat daripada pihak konsultan teknikal serta kontraktornya telah menyatakan bahawa padang berkenaan kini dalam keadaan yang lebih baik berbanding ketika Pestabola Merdeka bulan lalu dan sedia untuk digunakan pada 16 November depan.”

Selain itu, katanya, keputusan untuk kekal bermain di Stadium Nasional ini juga mengambil kira faktor-faktor sampingan lain terutama bagi memudahkan lebih ramai penyokong Harimau Malaya hadir memberikan sokongan.

“Malah, Kim Pan-gon dalam kenyataan yang dikeluarkan beliau semalam turut mahukan aksi menentang Kyrgyzstan ini kekal berlangsung di Stadium Nasional.

“Dengan pengesahan terbaharu ini, segala persiapan menjelang perlawanan tersebut akan terus dipergiatkan bagi memastikan kelancarannya.”

Selepas Kyrgyzstan, skuad Harimau Malaya akan terbang ke Taipei City untuk perlawanan kedua Kumpulan D menentang Taiwan pada 21 November 2023.

Seterusnya Malaysia akan berdepan Oman di tempat lawan pada 21 Mac 2024 dan di tempat sendiri pada 26 Mac 2024; bertemu Kyrgyzstan di tempat lawan pada 6 Jun 2024 dan menanti kunjungan Taiwan di laman sendiri pada 11 Jun 2024.