Ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon menyifatkan Malaysia berjaya membuktikan bahawa pasukannya setanding dengan pasukan yang berada dalam ranking 100 terbaik dunia, menjelang kejohanan Piala Asia, Januari 2024.
Ini selepas skuad Harimau Malaya bangkit dari ketinggalan 2 gol sebelum mencatatkan seri 2-2 dengan Syria.
Syria berada pada ranking ke-94 dunia, berbanding Harimau Malaya yang kini pada kedudukan ke-136 dunia.
“Secara amnya pada separuh masa pertama, prestasi kita agak bagus, kita setara untuk melawan dengan pasukan ke-94 dunia,” kata Pan-gon selepas perlawanan.
“Cuma saya rasa ada dua kesilapan yang menghukum kami.
“Namun, pada separuh masa kedua kita tunjukkan ketahanan dan sikap Harimau Malaya yang mampu mengejar semula permainan dan memberikan tentangan sehingga ke akhirnya.”
Bagaimanapun, Pan-gon akan meneruskan ujian taktikal ketika bertemu China, Sabtu ini.
“Sekarang kita nak uji beberapa cara taktikal dan juga merasai kekuatan pasukan yang berkedudukan ke-80 dunia.
“Kami mahu tahu kedudukan kami, jadi kami akan berterusan menyerang mereka, saya rasa kita perlu bermain agresif dan memberikan cabaran. Kami perlu lakukan yang terbaik untuk menyerang dan cuba untuk menang.”