Piala FA Berita

Stadium Sultan Ibrahim dipilih venue final Piala FA 2023

Stadium Sultan Ibrahim dipilih sebagai venue perlawanan akhir Piala FA 2023.

Ini setelah Stadium Nasional Bukit Jalil tidak boleh digunakan walaupun final dijadualkan berlangsung pada 22 Julai 2023.

Disebabkan itu, MFL menetapkan bahawa pemilihan venue akan dibuat menerusi bidaan terbuka kepada semua kelab Liga Malaysia 2023 bermula 19 Mei 2023.

Namun, MFL mengesahkan hanya menerima bidaan daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) selepas proses bidaan ditutup pada (24 Mei 2023) jam 5.00 petang.

“SNBJ masih dalam proses penambahbaikan sehingga Oktober jadi tidak dapat menggunakan stadium itu bagi final Piala FA kali ini,” kata MFL dalam kenyataan.

“Walaupun telah dipertimbangkan, MFL juga tidak dapat menangguhkan perlawanan itu berikutan kekangan kalendar pertandingan selepas Oktober yang padat dalam tempoh itu.

“Ini termasuk pusingan akhir perlawanan Liga Super, permulaan kedua-dua Piala Malaysia dan MFL Challenge Cup 2023 dan juga terdapat tarikh-tarikh penting melibatkan tugasan antarabangsa pasukan kebangsaan, pertandingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan Piala AFC yang bermula September hingga Disember depan.”

Ketiadaan bidaan dari kelab lain selain JDT mungkin disebabkan syarat-syarat yang ditetapkan oleh MFL seperti yang termaktub di dalam Manual Liga Malaysia 2023.

Dalam proses bidaan, MFL menyediakan 11 bidang pematuhan utama dan antara sub-kriteria kelayakan venue yang telah ditetapkan.

Antaranya, kesediaan stadium dan fasiliti sedia ada untuk menganjurkan perlawanan akhir berskala besar dengan kemudahan teknikal dan operasi yang sesuai dengan majlis.

Ini juga termasuk penyediaan padang latihan yang mematuhi ketetapan MFL bagi kegunaan kedua-dua pasukan dan kumpulan pengadil.

Selain itu, kelab perlu menyediakan permukaan padang yang baik dan bersedia untuk sebarang keadaan cuaca dan pencahayaan yang diperlukan.

Kelab juga perlu memastikan penggunaan stadium dan kawasan persekitaran stadium tanpa halangan sebelum dan selepas selepas perlawanan.

Ini termasuk bertanggungjawab ke atas aspek keselamatan termasuk menyediakan dan menempatkan petugas keselamatan dan petugas venue.

Bagaimanapun sebarang perubahan berkenaan pemilihan venue Perlawanan Akhir Piala FA 2023 tertakluk kepada keputusan Ahli Lembaga Pengarah MFL.