Malaysia diundi dalam Kumpulan E Piala Asia 2023 bersama juara dua kali Asia, Korea Selatan.
Ini setelah Malaysia layak ke kejohanan bola sepak berprestij Asia itu buat pertama kali dalam tempoh 15 tahun sejak menjadi tuan rumah pada 2007.
Bagi edisi 2023, Malaysia berdepan Korea Selatan yang baru sahaja beraksi dalam Piala Dunia 2022 hujung tahun lalu.
Malah, Korea satu-satunya pasukan dalam Kumpulan E yang berada dalam kedudukan 30 ranking FIFA terbaik dunia apabila menduduki tangga ke-27 ketika ini.
Malaysia turut diundi bersama Jordan yang menduduki tangga ke-84 dunia manakala Bahrain berada di tangga ke-85.
Pasukan negara dijangka berdepan Jordan dalam perlawanan pembukaan Kumpulan E diikuti dengan Bahrain dan Korea Selatan.
Malaysia dijadual bertemu Pulau Solomon pada 14 Jun dan Yaman pada 20 Jun di Terengganu sebagai persiapan berdepan Piala Asia.
Piala Asia akan diadakan di Qatar bermula 12 Januari 2024 dan perlawanan final akan berlangsung pada 10 Februari 2024.