Liga Super Malaysia Berita

Saya akan terus bersuara demi bola sepak negara – TMJ

Tengku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengakui beliau tidak akan berhenti memperjuangkan isu bola sepak negara.

Ini meskipun kenyataan beliau sering mengundang reaksi pelbagai, baik positif mahupun negatif.

Namun, beliau tampil memohon maaf sempena sambutan Aidilfitri jika ada kenyataannya yang mengguris perasaan mana-mana pihak.

“Selamat hari raya, maaf zahir batin kepada semua penyokong dan juga kepada mana-mana pihak yang tersinggung,” kata pemilik JDT itu di akaun media sosial miliknya.

“Tetapi ia bukan bermakna saya kesal atau akan berhenti bersuara berdasarkan fakta dalam hal ehwal atau senario bola sepak tempatan.

“Jika ada pihak tak boleh terima, itu terpulang kepada pendapat masing-masing. Saya akan terus bersuara dan berkongsi pandangan mengenai industri bola sepak negara.

Pada masa sama, beliau turut meminta CEO kelab Liga Malaysia membuat pertemuan dengan para penyokong sama seperti dilakukan JDT.

“Kita harus beri keutamaan dan kebebasan kepada penyokong untuk tanya apa sahaja soalan. Jangan kita sembunyi di belakang surat.

“Bersemuka dengan penyokong adalah cara terbaik. Berani kerana benar. Jangan layan orang gila dan jangan sanjung orang penakut.”