Liga Super Malaysia Berita

MFL agih lebih RM15 juta kepada 14 kelab Liga Super

Sejumlah RM15.675 juta pendapatan MFL diagihkan kepada kesemua 14 pasukan Liga Super 2023.

Ini peningkatan agihan pendapatan sebanyak 96.55 peratus berbanding RM7.975 juta yang diagihkan musim lalu.

Buat kali pertama tahun ini, MFL memperkenalkan agihan pendapatan berasaskan merit daripada hasil pendapatan MFL mengikut kedudukan teratas sehingga kelab yang berada di tempat ke-14 Liga.

Agihan musim ini membolehkan 6 kelab terbaik dalam liga memiliki peluang untuk membawa pulang lebih RM1 juta manakala pasukan yang menduduki kedudukan paling rendah juga mampu membawa pulang sekurang-kurangnya RM600,000 berbanding hanya RM250,000 pada 2022.

“Ia akan diagihkan kepada setiap kelab berdasarkan prestasi masing-masing di penghujung musim ini,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

“Ini tidak termasuk wang kemenangan kepada juara dan naib juara Piala MFL sebanyak RM500,000 dan RM250,000 sekali gus menjadikan jumlah agihan tambahan keseluruhan sebanyak RM7,700,000.”

Katanya, sistem agihan pendapatan berdasarkan merit ini sudah dibentangkan kepada semua Rakan Kongsi Liga dalam pertemuan bersama CEO-CEO kelab Liga Malaysia pada 15 Februari 2023.

“Sistem agihan pendapatan ini dilihat lebih adil buat kelab-kelab yang mempamerkan prestasi cemerlang pada sepanjang musim Liga Malaysia 2023.

“Pembentangan itu mendapat reaksi cukup baik dan mereka menerima cadangan agihan pendapatan berdasarkan merit untuk diperkenalkan tahun ini.”

Pada tahun 2021-2022, agihan dilakukan berdasarkan dua asas iaitu agihan sama rata sebanyak RM500,000 kepada setiap kelab Liga Super dan RM250,000 kepada setiap kelab Liga Premier.

Malah, sebelum ini, hanya kelab yang berada di kedudukan 3 teratas Liga Super atau Liga Premier akan memperoleh hadiah wang tunai tambahan.

“MFL melihat sistem agihan pendapatan ini akan menggalakkan semua kelab bersaing hebat bagi mendapatkan kedudukan terbaik sekali gus menerima lebih banyak pendapatan,” kata Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan.

“Adalah tanggungjawab MFL sebagai badan pengelola liga untuk berusaha meningkatkan pendapatan kelab-kelab dan kami percaya dengan kerjasama syarikat-syarikat korporat serta rakan penyiar, Liga Malaysia dapat terus dikomersilkan bagi meningkatkan pendapatan kelab-kelab.”

Agihan pendapatan MFL 2023-2025

Juara Liga Super RM2.4 juta
No. 2 RM1.9 juta
No. 3 RM1.5 juta
No. 4 RM1.2 juta
No. 5 RM1.050 juta
No. 6 RM1 juta
No. 7 RM900k
No. 8 RM850k
No. 9 RM800k
No. 10 RM750k
No. 11 RM700k
No. 12 RM650k
No. 13 RM625k
No. 14 RM600k

Hadiah kemenangan Piala MFL
Juara RM500k
Naib juara RM250k