Liga Super Malaysia Berita

Di mana pasukan Liga Super jalani pra-musim 2023?

Pra-musim Liga Super musim 2023 berjalan rancak apabila 14 pasukan sedang giat mengadakan sesi perlawanan persahabatan.

Ada yang menjalani pra-musim di luar negara, ada yang mengadakan pra-musim di luar kawasan dan ada yang hanya mengadakan pra-musim di laman sendiri.

Johor Darul Ta’zim – Dubai, UAE

JDT mengadakan pra-musim di Dubai, UAE buat kali ketiga berturut-turut.

Ia disebabkan Dubai merupakan antara destinasi terbaik untuk mengadakan pra-musim kerana kelab Eropah turut gemar mengadakan perlawanan persahabatan di sana.

Musim ini, JDT bertemu dengan empat pasukan Eropah iaitu FC Rostov, Levski Sofia, FC Lokomotiv Moscow dan Zenit St Petersburg.

Kedah – Turki

Kedah memilih destinasi agak unik untuk mengadakan pra-musim iaitu Turki.

Pasukan Sang Kenari akan bertolak ke Antalya pada hari Ahad, 5 Februari ini melalui perjalanan 15 jam dari Alor Setar ke Subang seterusnya menaiki penerbangan Turkish Airlines dari KLIA terus ke Istanbul seterusnya transit penerbangan ke Antalya.

Kedah akan bertemu FC Nasaf dari Uzbekistan (9 Februari), FC Shakter Karaganda dari Kazakhstan (10 Februari), FK Maqtaraal dari Kazakhstan (12 Februari) dan pasukan terakhir FC Metalist Kharkiv dari Ukraine (14 Februari).

Semua perlawanan akan berlangsung pada jam 5:00 petang waktu tempatan (Turki), 10.00 malam waktu Malaysia.

Venue latihan sepanjang di kem pra-musim kali ini adalah Limak Arcadia Sports Center.

Kedah juga merancang untuk mengadakan siaran langsung secara ‘pay per view’ dan akan ditawarkan kepada semua penyokong bola sepak untuk setiap perlawanan di Antalya, Turki.

Pahang dan Sabah – Thailand

Kedua-dua Pahang dan Sabah menjalani pra-musim di Thailand.

Pahang berpusat di pusat latihan kelab Thailand, BG Pathum di Bangkok selama 8 hari.

Di sana, Pahang turut mengadakan perlawanan persahabatan tertutup bersama kelab Korea Selatan iaitu FC Seoul, Daegu FC dan Anyang.

Sabah turut mengadakan pra-musim di Bangkok selama 10 hari namun tidak mendedahkan berpusat di mana.

Kuching City – Kemboja

Pendatang baharu Liga Super, Kuching City pula mengadakan pra-musim di Kemboja bermula 1 Februari ini.

Jurulatih Kuching, Irfan Bakti Abu Salim berkata, pasukannya akan bertemu tiga pasukan Liga Kemboja.

Kuching menyasarkan untuk menamatkan saingan musim 2023 di pertengahan liga.

Kelantan FC – Thailand dan Nilai

Kelantan FC pula memilih dua destinasi pra-musim iaitu Thailand dan Nilai, Negeri Sembilan.

Pasukan Pantai Timur itu berada di Thailand selama 5 hari dan turut mengadakan perlawanan persahabatan dinamakan ASEAN Charity Shield berdepan Buriram United.

Mereka kemudian berpusat di Nilai, Negeri Sembilan sehingga awal bulan Februari.

Pemiliknya, Norizam Tukiman menjelaskan, Nilai dipilih sebagai pusat kem latihan kerana lokasinya yang sesuai.

Dari sudut ekonominya, Kelantan dapat melakukan penjimatan kos kerana tidak perlu keluar dari Kota Bharu untuk setiap perlawanan sparing.

Di samping itu, salah satu penaja utama pasukan iaitu Hotel Zamburger Kota Warisan dan Sepang sudi menyediakan kemudahan penginapan sepanjang latihan pre season berlangsung dan jarak padang latihan ke lokasi penginapan cuma 15 kilometer.

Disebabkan itu, Kelantan dapat mengadakan perlawanan persahabatan tanpa perlu berjalan jauh seperti melawan Kedah di Alor Setar dan UiTM FC di Shah Alam.

Kelantan United – Lembah Klang

Kelantan United membuat persiapan mereka sempena pra-musim Liga Malaysia 2023 apabila dijadual menentang tiga kelab di sekitar Lembah Klang bermula 28 Januari.

Pasukan itu berpusat di Stadium MMU, Cyberjaya dan berdepan Negeri Sembilan, KL City serta PDRM FC dalam perlawanan persahabatan.

Kelantan United turut mengadakan dua perlawanan persahabatan sebelum ini menentang Terengganu.

Terengganu – Lembah Klang 

Terengganu pula hanya mengadakan pra-musim dalam negara namun tidak ketinggalan untuk mengadakan jelajah di sekitar Lembah Klang.

Antaranya perlawanan persahabatan menentang KL City dan Negeri Sembilan.

Laman sendiri

6 lagi pasukan sekadar mengadakan pra-musim di laman sendiri.

Pasukan itu adalah Negeri Sembilan, KL City, PDRM, Selangor, Pulau Pinang dan Perak.