Liga Super Malaysia Berita

Liga Malaysia tahun depan bakal perkenal format musim 2024-2025

Kalendar Liga Malaysia tahun hadapan bakal memperkenalkan format musim 2024-2025.

Ini setelah jadual Liga Malaysia musim 2023 berakhir pada bulan Disember, dengan skuad kebangsaan mengharungi Piala Asia pada bulan Januari 2024.

“Kalendar 2024 boleh digunakan sebagai peluang untuk kita ubah dan bermula sedikit lewat,” kata CEO MFL, Stuart Ramalingam.

“Jika tidak mengubah kalendar, kita akan hadapi isu domestik dari segi operasi perlawanan dan operasi kalendar.

“Dengan kekangan itu, menukar kalendar adalah yang terbaik selain mengambil kira isu domestik sama ada banjir, keadaan cuaca melampau di kawasan tertentu pada bulan-bulan tertentu.

“Ini hanya halangan, jika kita dapat memperbaikinya, saya pasti kita boleh bergerak lebih jauh dalam usaha memadankan kalendar Liga Malaysia dengan kalendar AFC.”

Pada masa sama, katanya, perubahan kalendar tahun depan perlu mempertimbangkan bagaimana ia memberi kesan kepada pasukan dan liga secara keseluruhan.

“Sebab kalendar awal tahun agak ringan kerana tidak cukup Hari FIFA tetapi kalendar hujung tahun sangat padat.

“Menjelang penghujung musim, ada Piala FA peringkat kalah mati dan Piala Malaysia, setiap perlawanan menjadi semakin penting dan sengit tetapi masa itulah kalendar peringkat antarabangsa menjadi sibuk.

“Dari perspektif domestik, kita harus mempertimbangkan perubahan tetapi kita juga memerlukan maklumat yang mencukupi sebelum kita membuat perubahan dan menghadapi isu yang tidak terkawal terutamanya cuaca.”

Satu lagi faktor mendorong kepada perubahan kalendar ialah tempoh off season atau pra-musim dan pasca musim.

“Piala AFF kebiasaanya hujung tahun jadi bila off season selepas habis musim sebab ACL dan Piala AFC peringkat kalah mati mula bulan Februari. Pra-musim dan pasca musim kita agak kelabu jika kita tidak padankan dengan kalendar AFC.

“Dalam kalendar tidak ada isu langsung jikalau dalam format baharu AFC kalah mati tidak ganggu tapi peringkat kumpulan ganggu.

“Jadi, kita harap dapat cari penyelesaian dalam perkara ini sebab pasukan yang bertanding dalam AFC dan panggilan kebangsan akan ada, jadi persoalannya bila pra-musim dan pasca musim.”