Liga Super Malaysia Berita

Pemain Sarawak United tunggu gaji 4 bulan, tunggakan lebih RM400,000

Pemain Sarawak United telah menunggu bayaran gaji selama 4 bulan namun sehingga kini belum menerimanya,” lapor PFAM.

Tunggakan gaji ini telah bermula sejak September 2022 dan kebanyakkan pemain Sarawak United telah pun menamatkan tempoh kontrak bersama Sarawak United pada November dan Disember 2022.

Notis terbaru telah dihantar ke Sarawak United pada 17 Januari 2023 yang lepas untuk meminta agar tunggakan gaji yang kini mencecah 4 bulan untuk segera dilunaskan.

“Meskipun pihak Sarawak United memberikan maklum balas terhadap notis yang dihantar daripada PFAM, namun satu langkah konkrit untuk membayar segala tunggakan gaji terhadap pemain dilihat masih tidak jelas dan perkara ini perlu diberi perhatian dengan lebih serius,” kata PFAM.

“Selain daripada pihak Sarawak United perlu untuk menghormati tempoh masa pembayaran gaji yang telah dipersetujui di dalam kontrak, para pemain turut terkesan akibat tidak mempunyai pendapatan bulanan yang sepatutnya diterima bagi menguruskan komitmen bulanan.

“PFAM memandang serius terhadap isu tunggakan yang berlarutan ini kerana bukan sahaja perkara ini menjejaskan kebajikan dan hak pemain sebaliknya PFAM berhasrat untuk mengelakkan agar situasi ini untuk terus berlaku pada masa akan datang.”

Pada 9 Januari 2023 yang lepas, laporan daripada PFAM telah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan terhadap masalah tunggakan gaji yang dihadapi oleh pemain Sarawak United.