Liga Super Malaysia Berita

Melaka United masih belum bayar gaji 6 bulan, tunggakan cecah RM2.3 juta

Pengurusan Melaka United masih belum membayar gaji bekas pemainnya dan tunggakan itu kini mencecah tempoh RM2.3 juta.

18 Januari 2023 merupakan tarikh akhir bagi notis yang dihantar ke Melaka United untuk melunaskan tunggakan gaji para pemain.

Ini bermakna, tunggakan gaji yang bermula daripada Julai 2022 sehingga Disember 2022 telah menyebabkan pemain Melaka United berdepan dengan situasi 6 bulan tidak bergaji.

Ini meskipun pasukan itu tidak lagi mempunyai sebarang tanggungan baharu bagi musim 2023 kerana tidak layak memperoleh lesen kebangsaan untuk beraksi dalam Liga Malaysia.

“Lebih mendukacitakan, pemain yang mempunyai komitmen bulanan terpaksa berhempas pulas untuk meneruskan kelangsungan diri dan keluarga sehingga berulang kali menerima panggilan daripada pihak bank untuk menyelesaikan pembayaran bulanan,” menurut PFAM.

“Realiti yang dihadapi oleh pemain Melaka United amat mendukacitakan kerana sebagai pemain bola sepak profesional di dalam negara, mendapat bayaran gaji daripada majikan berdasarkan kepada persetujuan di dalam kontrak adalah hak yang sewajarnya dipenuhi dan tidak perlu untuk mereka merayu seolah seolah meminta bantuan ataupun seolah olah mereka melakukan kesalahan untuk menerima gaji mereka sendiri.”

Pada 4 November 2022, satu keputusan telah dikeluarkan oleh Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan bagi kelab Melaka United untuk melunaskan jumlah satu bulan gaji terlebih dahulu namun sehingga kini, jumlah tersebut masih gagal untuk dibayar.

Terkini, laporan tunggakan gaji bagi bulan bulan yang berikutnya telah dihantar ke FAM bagi tujuan perbicaraan Majlis Resolusi Pertikaian Kebangsaan.

“Dalam masa sama, isu pemilikan yang timbul di dalam Melaka United mengeruhkan lagi keadaan kerana pihak pihak yang sewajarnya bertanggungjawab untuk menangani masalah tunggakan gaji ini dilihat seolah olah tidak mahu memberi kerjasama.

“PFAM bertegas untuk membawa pihak pihak yang bertanggungjawab untuk melunaskan bayaran gaji terhadap pemain ke muka pengadilan bagi membela nasib pemain yang terkesan secara langsung akibat daripada sikap pengurusan yang tidak mengambil serius untuk memperjuangkan hak dan kebajikan pemain.”