Malaysia Berita

Piala AFF 2022: Malaysia tewas kontroversi kepada Vietnam, pengadil Jepun dipertikai

Hasrat Malaysia untuk meneruskan rentak kemenangan tidak kesampaian apabila tewas 3-0 kepada Vietnam di Hanoi.

Ini kekalahan pertama dicatatkan Malaysia dalam Piala AFF 2022 selepas meraih kemenangan terhadap Myanmar dan Laos.

Kedua-dua pasukan nampak seimbang di awal separuh masa pertama dengan Mukhairi Ajmal paling banyak mencipta peluang ke arah gol.

Namun, Malaysia dikejutkan dengan gol Vietnam apabila tandukan Nguyen Tien Linh menewaskan Syihan Hazmi pada minit ke-28.

Bagaimanapun, Vietnam terpaksa bermain 10 pemain pada minit ke-33 apabila Nguyen Van Toan dilayangkan kad merah kerana menerima kad kuning kedua.

Malaysia mempunyai peluang untuk menyamakan kedudukan pada hujung separuh masa pertama dan awal separuh masa kedua namun gagal berbuat demikian.

Sebaliknya, Malaysia bukan sahaja kehilangan Azam Azmi yang dilayangkan kad merah, Vietnam dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan oleh Que Ngoc Hai pada minit ke-62 dalam situasi penuh kontroversi.

Tindakan pengadil Jepun, Ryuji Sato dipersoal terus-terusan oleh para penyokong sehingga tamat perlawanan.

Peluang Malaysia untuk bangkit tertutup sepenuhnya apabila Vietnam menjaringkan gol ketiga menerusi Nguyen Hoang Duc pada minit ke-83.

Malaysia akan bertemu Singapura pada 3 Januari ini di Bukit Jalil.