Liga Super Malaysia

JDT menang besar dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022

Johor Darul Ta’zim mencatatkan kemenangan besar dalam Anugerah Bolasepak Kebangsaan 2022 apabila meraih 8 anugerah utama.

Ini setelah skuad Harimau Selatan menyapu bersih semua piala domestik musim ini, bermula dengan Piala Sumbangsih, Piala FA, Liga Super dan Piala Malaysia.

Arif Aiman Mohd. Hanapi dinobatkan sebagai Pemain Paling Bernilai (MVP), serta mempertahankan dua lagi gelaran iaitu Anugerah Penyerang Terbaik dan Pemain Muda Terbaik.

Shahrul Saad memenangi kategori Anugerah Pertahanan Terbaik, manakala Afiq Fazail merangkul Anugerah Pemain Tengah Terbaik.

Bergson da Silva pula meraih Anugerah Pemain Import Terbaik selepas menjaringkan 40 jaringan dalam semua pertandingan, serta diumumkan Penjaring Terbanyak Liga Super 2022 apabila menjaringkan 29 gol.

Pemain Brazil itu turut memecahkan rekod jumlah gol terbanyak dalam semusim Liga Super yang sebelum ini dipegang oleh Ifedayo Omosuyi (26 gol).

JDT melengkapkan kemenangan di ABK22 apabila memenangi Anugerah Pasukan Terbaik, sekali gus mempertahankan kemenangan sejak musim 2018.

“Saya mahu mengucapkan ribuan terima kasih kepada Duli Yang Amat Mulia Tengku Mahkota Johor yang sentiasa memberikan peluang berharga kepada pemain-pemain muda seperti saya,” kata Arif Aiman selepas menjaringkan 8 gol dan 16 assist musim ini.

“Tidak dilupakan kepada ketua jurulatih (Hector Bidoglio) dan pegawai- pegawai JDT yang sentiasa memberikan peluang kepada saya untuk beraksi dalam kesebelasan utama pada musim ini.

“Bagi keluarga saya, terima kasih kerana mendoakan kejayaan saya serta sentiasa memberikan sokongan dan kata-kata semangat kepada saya.

“Tidak dilupakan kepada penyokong-penyokong JDT yang sentiasa datang ke stadium, berikan sokongan kepada kami dan alhamdulillah musim ini kami banyak menang kejohanan di peringkat domestik.

“Insya Allah tahun depan, saya akan jadi lebih terbaik berbanding musim ini dan harap peminat setia JDT jangan berhenti menyokong kami.”

Nafuzi Zain pula muncul pemenang kategori Anugerah Jurulatih Terbaik apabila mengemudi Terengganu sehingga mara ke pentas akhir Piala FA dan muncul naib juara Liga Super musim ini.

“Syukur alhamdulillah untuk anugerah ini, saya sendiri tidak percaya kerana saya tahu yang calon-calon lain lebih berpengalaman berbanding dengan saya.

“Terima kasih saya ucapkan kepada pemain-pemain, staf kejurulatihan dan pengurusan, semua penyokong-penyokong yang sentiasa bersama saya.

“Ini adalah kejayaan bersama dan anugerah ini juga bagi saya lebih bersemangat untuk berusaha serta bekerja keras di masa hadapan.

“Terima kasih kepada MFL yang memberikan anugerah ini untuk saya, satu penghargaan yang saya rasa sangat besar sebagai seorang jurulatih yang baharu.”

Penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi muncul Penjaga Gol Terbaik mengatasi Kalamullah Al-Hafiz (PJ City) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu).

“Terima kasih MFL dan penyokong Negeri Sembilan yang sentiasa sokong Syihan, selalu beri semangat dan tidak dilupakan kepada kapten Negeri Sembilan (Zaquan Adha Abd. Radzak).

“Begitu juga dengan pemain-pemain yang sentiasa menyokong Syihan dan pengurusan Negeri Sembilan, terima kasih banyak-banyak.

“Anugerah ini saya khususkan kepada mereka yang sentiasa doakan kejayaan Syihan terutama sekali isteri, anak-anak dan ibu.

“Rasa sangat bersyukur kerana musim 2022 ini anugerah yang sangat bermakna kepada Syihan dan harap dapat membuat lebih baik lagi pada musim depan.”

Sejarah juga tercipta di ABK22 apabila kategori Anugerah Gol Terbaik Liga Malaysia diperkenalkan kali pertama dengan Mukhairi Ajmal Mahadi (Selangor) muncul pemenang, dengan pemenang anugerah ini ditentukan 100% menerusi undian penyokong.

Jaringannya pada minit ke-32 semasa berdepan Melaka United pada 1 Oktober lalu dalam aksi Liga Super diangkat sebagai gol terbaik musim 2022.

Sementara itu, PJ City berjaya memenangi dua kategori dipertandingkan iaitu Anugerah Fair Play selain penyerang, Darren Lok, yang meraih Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Super 2022 dengan 10 gol.

Turut tidak ketinggalan, Abu Kamara (Kuching City) muncul Penjaring Terbanyak Liga Premier 2022 selepas meledak 11 gol manakala Nurshamil Abd Ghani (Kelantan) berjaya mempertahankan gelaran Penjaring Terbanyak Tempatan Liga Premier yang dimenangi musim lalu bersama Daryl Sham (Johor Darul Ta’zim II), apabila masing-masing menjaringkan 9 gol.

Seramai 386 daripada 667 pemain telah disenarai pendek berdasarkan penampilan bersama pasukan masing-masing sebelum dibawa ke Jawatankuasa Saringan ABK22 yang mengundi 10 pemain terbaik mereka dalam setiap kategori. Para pemain dipilih dalam setiap kategori mengikut posisi yang didaftarkan oleh pasukan masing-masing.

22 ketua jurulatih, 22 ketua pasukan Liga Super dan Liga Premier dan 22 wakil media telah mengundi 10 pemain bagi setiap kategori itu pada 2 November dan berakhir 8 November 2022.

Manakala penyokong-penyokong pula berpeluang mengundi FAN XI dan berikut adalah keputusan undian FAN XI:

JURULATIH: Nafuzi Zain (Terengganu)
PENJAGA GOL: Ahmad Syihan Hazmi (Negeri Sembilan)
PERTAHANAN KANAN: Azam Azmi Murad (Terengganu)
PERTAHANAN TENGAH: Shahrul Saad (Johor Darul Ta’zim)
PERTAHANAN TENGAH: Shane Lowry (Johor Darul Ta’zim)
PERTAHANAN KIRI: La’Vere Corbin-Ong (Johor Darul Ta’zim) TENGAH: Leandro Velazquez (Johor Darul Ta’zim)
TENGAH: Afiq Fazail (Johor Darul Ta’zim)
TENGAH: Manuel Ott (Terengganu)
SAYAP KANAN: Arif Aiman Hanapi (Johor Darul Ta’zim)
PENYERANG: Bergson da Silva (Johor Darul Ta’zim)
SAYAP KIRI: Faisal Abdul Halim (Terengganu)