Liga Super Malaysia Berita

Kedah rombak pasukan besar-besaran untuk musim 2023

CEO Kedah, Khamal Idris Ali mengesahkan pasukannya akan dirombak secara menyeluruh bagi menghadapi Liga Malaysia musim 2023.

Ini setelah Kedah menamatkan musim ini dengan hambar apabila hanya menduduki tangga ke-8 Liga Super, tersingkir seawal pusingan kedua Piala FA dan tersingkir dalam pusingan 16 Piala Malaysia.

“Persiapan rapi dilakukan dengan teliti kali ini dan kami tidak lagi mahu kesilapan musim 2022 berulang,” kata Khamal kepada Astro Arena.

“Kedah memahami dan mendengar apa disuarakan oleh penyokong yang mahu pasukan melakukan sesuatu untuk mengembalikan semula kegemilangan pasukan ini.”

Khamal juga berkata, rombakan itu termasuk semua pemain import dan beberapa pemain tempatan.

“Ketika ini, kami belum memutuskan lagi masa depan lima pemain import musim ini.

“Perancangan seterusnya akan digerakkan oleh ketua jurulatih baharu untuk membina pasukan musim hadapan.”