Pemain pertahanan JDT, Shane Lowry disahkan mengalami patah siku ketika beraksi menentang Kedah di Alor Setar semalam.
Ini selepas beliau bertembung dengan pemain Kedah, Al Hafiz Harun di separuh masa kedua sehingga terpaksa dikeluarkan ekoran kecederaan di bahagian tangan.
“JDT mendoakan Shane Lowry agar segera sembuh ekoran patah siku akibat perlanggaran pada perlawanan menentang Kedah malam tadi.
“Beliau akan menjalani pembedahan di Johor Bahru hari ini. Doa dan ingatan kami sentiasa bersama anda, Shane. Semoga lekas sembuh,” menurut kenyataan rasmi Johor Southern Tigers.
Ini bermakna Lowry tidak dapat beraksi dalam baki tiga perlawanan Liga Super serta kemungkinan besar tidak dapat beraksi dalam saingan Piala Malaysia yang dijadual bermula hujung bulan ini.
Kecederaan patah siku biasanya mengambil masa antara sebulan ke dua bulan untuk pulih sepenuhnya.
Kekosongan di bahagian pertahanan JDT kemungkinan akan diisi oleh Aidil Zafuan.