![](https://football-tribe.com/malaysia/wp-content/uploads/sites/13/2022/08/1A45F82D-2B0B-4F0F-AFF5-BD642D4424CE-800x419.jpeg)
Ketua jurulatih interim Selangor, Nidzam Jamil menyifatkan pasukannya berada dalam tekanan yang cukup tinggi apabila dilemparkan dengan pelbagai kecaman oleh penyokong sendiri sejak awal perlawanan ketika beraksi di Kelana Jaya semalam.
Ini selepas Red Giants tewas 1-0 kepada PJ City dalam saingan Liga Super hasil jaringan tunggal Darren Lok pada minit ke-58.
Itu merupakan kekalahan ke-4 berturut-turut dalam liga dan kekalahan ke-7 selepas beraksi 15 perlawanan musim ini.
“Perasaannya seperti kamu balik ke rumah, tapi orang dekat rumah tidak suka kamu, kita boleh nampak,” kata Nidzam dalam sidang media selepas perlawanan.
“Kita bermain di rumah kita, tapi kami perlukan sokongan untuk berada seperti di rumah. Sebab dah dua perlawanan sebelum ini kita bermain away.
“Saya faham reaksi penonton…dia boleh komen, dia boleh bagi apa reaksi berbeza, tapi sedikit sokongan dah memadai.
“Pasukan ini ada, potensi, ada watak tapi kita perlukan penyokong untuk menyokong kita tapi kalau kita semua dengar dari minit pertama, saya tak rasa kita seperti di rumah. Saya rasa perkataan balik rumah, tapi orang rumah tak suka menggambarkan apa yang terjadi sekarang.”
Namun, beliau mengakui, penyokong mempunyai hak untuk mengkritik prestasi pasukan yang hambar sepanjang musim ini.
“Kita faham, kita kena perbetulkan ini, pemain, jurulatih kena perbetulkan ini.
“Tapi bila kita dalam situasi ini, saya nak kita seperti bermain di rumah, bukan di rumah orang. Saya tahu situasi sekarang tak menyebelahi pemain dan pasukan tapi sedikit simpati dan empati terhadap pasukan membantu sikit untuk kita.
“Saya faham perasaan penyokong, saya pernah berada di tempat mereka, tetapi sedikit simpati dan empati mungkin membantu kita.
“Memang kita kena berikan sumbangan, tetapi bukan pasukan sahaja, penyokong juga kita nak berada di belakang kita.
“Tapi bukan semua (nak menyokong), itu saya faham, apa reaksi mereka, apa yang mereka maksudkan, saya faham.”
Mengulas mengenai kekalahan kepada PJ City, Nidzam menjelaskan, pasukannya mencipta lebih banyak peluang berbanding pihak lawan, namun menyifatkan Selangor masih belum cukup bagus.
“Memang kita tak nak ada dalam situasi ini, tapi inilah yang berlaku, kita tak cukup karakter untuk menang sebagai satu pasukan.
“PJ dapat dua peluang, satu gol dan satu sasaran. Kita ada berbelas berpuluh peluang, tapi kita kena betulkan sikap kita depan gol. Kalau tak, kita akan cakap kita bina serangan, kita cipta peluang tapi bola bukan sekadar cipta peluang…kita kena jaringkan gol.
“Ada beberapa pemain kita rasa boleh beraksi lebih baik, tapi entah macam mana, mungkin prestasi tak menentu, tapi kita kena betulkan balik kepala kita.
“Situasi ini jelas tak membina untuk semua, untuk pengurusan, untuk penyokong semua, kita boleh nampak sokongan agak tak di sebelah kami dari mula, ini tak membantu langsung.
“Apa yang kita boleh ubah adalah keputusan, reaksi mereka disebabkan keputusan, kita kena bagi reaksi lebih baik terhadap keputusan perlawanan.”
Nidzam juga menyifatkan, kekalahan itu terjadi sama ada pasukannya tidak melakukan persediaan yang mencukupi atau tidak cukup bekerja keras.
“Saya percaya pemain dan jurulatih melakukan persediaan yang baik tapi mungkin kita perlu berikan lebih lagi.
“Kadang-kadang bagi 10 tak cukup, kita kena bagi 11, barulah prestasi akan meningkat. Macam dalam hidup, kalau tak buat lebih, hidup akan statik, kalau buat lebih akan ada perubahan, ini yang kita perlukan sekarang.
“Tak boleh kita cakap kita sedih sebab kita kalah, tidak. Kita ini pemain bola, kita semua budak besar, kita kena tingkatkan prestasi.”