Piala FA Berita

Nafuzi: Saya dah lama nak jumpa JDT di final

Nafuzi Zain mengakui beliau sudah lama memasang hajat untuk membawa Terengganu melawan JDT di perlawanan akhir dalam apa jua kejohanan.

Hajat jurulatih berusia 43 tahun itu akhirnya tercapai apabila Terengganu mara ke final Piala FA menewaskan Selangor 4-2 dalam penentuan sepakan penalti selepas terikat 1-1 dalam 120 minit permainan.

“Saya sendiri memang harap nak jumpa JDT di final,” kata Nafuzi kepada media selepas perlawanan.

“Sebagai jurulatih selama tiga musim, saya selalu jumpa JDT di separuh akhir, suku akhir jadi terkandas di situ, jadi impian saya adalah berjumpa di final, kali ini laluan kita bukan bertemu JDT, alhamdulillah, yang penting kita sampai ke final.

“Tahun lepas, kita jumpa JDT dalam separuh akhir Piala Malaysia, sebelum itu kita di suku akhir dengan JDT, selalu terkandas dengan JDT.

“Kita tak boleh banding dengan JDT, tengok level team kita macam mana, team dia macam mana, tapi bagi saya, saya nak merasa pentas final dengan Terengganu bersama JDT, alhamdulillah…Allah makbulkan hajat saya.”

Mengulas mengenai perlawanan menentang Selangor, Nafuzi menyifatkan barisan pemainnya beraksi dengan cemerlang meskipun berdepan pelbagai cabaran.

“Alhamdulillah, begitu manisnya kemenangan dalam keadaan yang melalui kesukaran. Dari awal lagi ketika lawan Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kuching City dan Selangor juga yang mendahului di awal permainan.

“Di separuh masa kedua, kita dapat jaringkan gol tapi pemain import kita ramai cedera, terpaksa keluarkan tapi pemain terus berjuang, sampai masa tambahan ke sepakan penalti, apabila kita ke final, memang dari awal lagi pemain nak ke final.”

“Keadaan import (cedera) memang kita terasa, pemain muda menjalankan tugas yang baik walaupun kita tak jaringkan gol tapi tak bolos (masa tambahan), bukan senang dalam perlawanan tekanan tinggi, dari awal tak main macam biasa, tak settle dalam 15 ke 20 minit, di situ kita bolos, terlalu banyak beri ruang kepada Selangor dan banyak menghantar bola ke belakang.”

Bagaimanapun, katanya, beliau sentiasa memastikan para pemainnya bermotivasi tinggi sebelum beraksi di atas padang.

“Masa rehat separuh masa, masa tambahan dan masa penalti, satu sahaja saya cakap, just believe, tengok keliling semua kita punya peminat, ini tempat kita, jadi kena yakin sahaja, kita boleh, ini rezeki kita dan pemain buktikannya, syukur alhamdulillah.

“Secara keseluruhan, sumbangan semua pemain bagus dan baik, kita tahu perlawanan macam ini, terlalu tertekan, kadang-kadang bola sepak emosi, hanya pemain yang tahu apa rasanya di dalam, kita di luar ini mungkin nampak mudah..senang, tapi sebagai pemain muda macam Rahadiazli, umur 21, 22 tahun dah main di pentas final, ini satu pencapaian sebagai pemain.

“Tapi saya cakap pada mereka, kita kena yakin..jangan mengalah, kalau yakin insya-Allah kita boleh, walaupun rekod sebelum ini kita menang lawan Selangor, ini perlawanan sukar, terutama 20 minit pertama, dia beri tekanan kepada kita, kita tak settle down, tak boleh simpan bola, lepas tu baru dapat tempo, namun apa yang penting, kita menang dan kita ke final.”

Nafuzi akui JDT bukan lawan yang mudah namun ia tidak menghalang beliau untuk memasang impian menjulang piala di final nanti.

“Bukan senang untuk menang bertemu JDT. Di hari yang baik mungkin semua menjadi, kita menang lawan JDT, tapi untuk final..yang penting kita masuk final.

“Pemain tak ada tekanan. Memang kita sasarkan nak jadi juara, kalau juara itu bonus untuk kita, tapi kita sampai ke final memang nak jadi juara, sebagai jurulatih kita perlu ke final dan buktikan yang kita ini jurulatih yang baik.

“Mungkin dari segi import, ramai cedera, tengok pemain main 120 minit, bukan senang, perlawanan dalam empat lima hari sahaja untuk berehat, kita tengok pemain mana yang ada, mana-mana pemain pun tahap keyakinan yang tinggi, dengan apa yang kita dah capai, memang tak risau.”

Nafuzi juga menganggap kejayaannya membawa Terengganu ke final Piala FA membuktikan keupayaan jurulatih muda jika diberi peluang.

“Sebagai pemain, saya pernah dua kali berada di final Piala FA, satu kali juara, satu kali naib juara,” katanya.

“Tapi saya jurulatih yang masih muda, mentah, dalam proses masih belajar, tapi saya terima kasih kepada Terengganu kerana beri peluang ini.

“Bukan senang untuk jurulatih muda dapat jadi jurulatih pasukan utama, sebab dari pengalaman, kita tak ada, saya tengok sekarang ramai jurulatih muda atau bekas pemain jadi jurulatih, saya harap mereka diberi peluang.”

“Mungkin mereka mampu, jadi bukan saya sahaja dapat peluang tapi juga jurulatih lain di masa akan datang.

“Saya berterima kasih kepada peminat, kemenangan ini untuk peminat.

“Pelantikan saya tahun ini adalah keyakinan peminat terhadap saya, peminat terus beri kepercayaan kepada saya untuk musim ketiga.

“Saya sasarkan tahun ini kita ke final, mungkin pemain muda sebelum ini dalam proses bertambah matang, apa yang kita rancang nak ke final, alhamdulillah berjaya, semua ini untuk peminat, berapa lama dah kita tak ke final, kita semua gembira dengan kejayaan ini.”