Liga Super Malaysia Berita

MFL akui terpaksa pinda jadual sekali lagi, Liga Super berakhir 15 Oktober ini

MFL sekali lagi mengemaskini kalendar Liga Malaysia 2022, menyaksikan perlawanan akhir Liga Super akan diadakan pada 15 Oktober ini ekoran jadual yang menjadi semakin padat.

Keputusan itu dibuat berdasarkan penyertaan kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) serta penglibatan Kedah dan Kuala Lumpur City dalam kejohanan Piala AFC.

MFL mengakui terpaksa membuat penyelarasan lebih awal berhubung jadual Liga Malaysia 2022 dengan mengambil kira kemungkinan JDT, Kedah dan KL City akan melangkah ke pusingan seterusnya selepas ini pada 22 hingga 25 Ogos 2022.

Kemaskini itu menyaksikan perlawanan akhir Piala FA akan diadakan pada 28 Ogos, diikuti dengan sesi latihan pusat dan perlawanan persahabatan melibatkan skuad kebangsaan pada bulan September, Liga Premier akan berakhir pada 11 September manakala Liga Super berakhir pada bulan Oktober.

Bagaimanapun, jika diikutkan jadual asal, Piala Malaysia sepatutnya bermula pada 7 Oktober dan berakhir pada 19 November.

Piala Malaysia perlu berakhir sekurang-kurangnya hujung November atau awal Disember kerana skuad kebangsaan akan menghadapi Piala AFF pada hujung tahun ini.

JDT telah layak ke peringkat kalah mati dalam pertandingan ACL 2022 dan dijadualkan bertemu kelab Jepun, Urawa Red Diamonds dalam pusingan 16 pasukan terbaik pada 18 Ogos manakala Kedah telah layak separuh akhir Piala AFC peringkat Zon Asean bersama KL City pada 9 dan 10 Ogos 2022.