Skuad kebangsaan Malaysia kemungkinan besar akan mengadakan kem latihan berpusat di luar negara sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2023.
Malaysia sebelum ini pernah mengadakan sesi latihan berpusat di Dubai, UAE ketika menghadapi kelayakan Piala Dunia 2022 tahun lalu.
“Besar kemungkinan,” kata Setiausaha Agung FAM, Saifuddin Abu Bakar kepada Astro Arena.
“Ini berdasarkan apa yang telah dicadangkan oleh Kim Pan-gon.
“Piala Asia ini merupakan sesuatu yang baharu bagi kami dan sasaran kami adalah tidak menjadi pasukan belasahan dalam saingan itu nanti.”
Katanya, cadangan itu akan diperhalusi kerana Malaysia kemungkinan besar akan bertemu dengan pasukan-pasukan seperti Jepun, Korea Selatan, Australia dan Arab Saudi yang akan beraksi di Piala Dunia 2022 di Qatar pada November ini.
“Ia perlu dilakukan dengan rapi kerana Malaysia bakal berdepan lawan yang sudah melayakkan diri beraksi di Piala Dunia.
“Saya akan berbincang dengan Pan-gon mengenai persiapan skuad negara menghadapi Piala Asia.”
Kejohanan Piala Asia 2023 sepatutnya dijadualkan berlangsung di China pada 16 Jun hingga 16 Julai tahun hadapan.
Namun, China membuat keputusan untuk menarik diri sebagai tuan rumah, sekali gus memaksa AFC untuk membuat sesi bidaan kedua bagi memilih tuan rumah baharu.