Liga Super Malaysia Berita

Hamidin: Beberapa pasukan Liga Malaysia sedang cari pemain warisan baharu

Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin mengakui beberapa pasukan Liga Malaysia sedang mencari pemain warisan baharu untuk ditandatangani.

Ini selepas terdapat beberapa pemain warisan memberikan sumbangan besar dengan membantu skuad negara layak ke Piala Asia 2023 seperti Dion Cools, Matthew Davies, La’Vere Corbin-Ong dan Darren Lok.

“Saya rasa ada beberapa kelab sedang melihat pemain warisan iaitu ayah, mak atau datuk nenek dia dari Malaysia dan dia dah boleh dapat pasport serta-merta,” kata Hamidin kepada Harian Metro.

“Tapi kita di Malaysia tak ramai sangat. Macam negara Filipina…yang ayah, datuk dia dari luar negara seperti Sepanyol dan Argentina.”

Katanya, pihak FAM tidak menghalang mana-mana pasukan yang mahu menandatangani pemain warisan, namun pemain itu mestilah berpotensi tinggi dan mampu mewakili negara.

“Kalau ada dan saya tengok beberapa kelab pun ada, mungkin kita akan mengalu-alukan mereka, tetapi perlu mencapai standard dalam skuad kebangsaan.”