China membuat keputusan untuk menarik diri sebagai hos Piala Asia 2023.
Keputusan itu mengejutkan ramai pihak kerana ia diputuskan setahun sebelum kejohanan itu diadakan, yang sepatutnya berlangsung pada 16 Jun ke 16 Julai tahun depan.
Namun, susulan perbincangan lanjut dengan Persatuan Bola Sepak China (CFA), AFC akur dengan keputusan tersebut.
“AFC mengakui keadaan luar biasa disebabkan pandemik COVID-19, membawa kepada pelepasan hak China sebagai tuan rumah kejohanan,” katanya dalam kenyataan.
“China, CFA dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) telah membuat keputusan yang sangat sukar tetapi perlu demi kepentingan kolektif Piala Asia 2023, yang juga telah memberikan AFC masa yang diperlukan untuk menilai situasi berkenaan penganjuran Piala Asia AFC 2023.”
Justeru, AFC dijangka mengumumkan penganjur baharu dalam masa terdekat.
“AFC akan terus bekerjasama rapat dengan rakan kongsi komersial dan pihak berkepentingan untuk melakar perjalanan ke hadapan.
“Butiran lanjut mengenai langkah seterusnya berkaitan penganjuran Piala Asia AFC 2023 akan diumumkan dalam masa terdekat.”
China dilantik sebagai tuan rumah Piala Asia 2023 pada 5 Jun 2019, di Kongres Luar Biasa AFC di Paris.
Kejohanan ini melibatkan 24 pasukan yang akan beraksi di 10 bandar raya China dari 16 Jun hingga 16 Julai 2023.
AFC bekerjasama rapat dengan CFA dan Jawatankuasa Penganjur Tempatan (LOC) semasa persiapan dan beberapa peristiwa penting telah dicapai, termasuk pelancaran logo kejohanan dan pembukaan Stadium Bola Sepak Shanghai Pudong yang baru siap tahun lepas.