Berita AFC Champions League

Mora: JDT cuma kelab kerdil dari Johor, tapi kami amat berbangga

Ketua Jurulatih Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora mengakui JDT merupakan sebuah pasukan yang kerdil, jika dibandingkan dengan pasukan yang pernah menjuarai AFC Champions League.

Ini selepas JDT mara ke pusingan 16 terakhir ACL2022 selepas menewaskan Ulsan Hyundai dengan kemenangan dramatik 2-1 beberapa hari lalu.

“Kami tidak pernah berhenti percaya,” katanya kepada Bernama.

“Pasukan Korea tentunya gergasi Asia…separuh akhir pada 2021 dan juara 2020.

“Dan kini kami singkirkan mereka dari kejohanan.

“JDT cuma sebuah kelab kecil dari Johor… jadi saya amat berbangga.”

Meskipun kemenangan JDT adalah gol sendiri Park Yeon-woo, Mora menganggap ia terhasil daripada serangan yang agresif JDT.

“Pertamanya kesemua gol dalam bola sepak terjadi akibat kesilapan, sama ada ‘pitch’ yang tinggi atau rendah, bahagian kiri atau kanan… akhirnya jika ia masuk ke dalam gol… ia disebabkan kesilapan.

“Kesilapan itu digerakkan oleh kepercayaan dan keagresifan kita untuk bergerak ke hadapan dan percubaan untuk mencari gol. Bagaimana cara ia dijaringkan, kiraan gol itu tetap sama.”

Mora juga menzahirkan penghargaan kepada Tunku Mahkota Johor dan penyokong JDT.

“Inilah bola sepak. Terima kasih kepada penyokong, terima kasih kepada TMJ kerana menjadikannya satu kenyataan dan terima kasih juga kepada pemain.

“Ini untuk mereka, ini untuk negeri ini, untuk pemain, untuk keluarga dan untuk TMJ.”

Bagaimanapun, katanya, JDT perlu meneruskan momentum apabila bertemu Urawa Red Diamonds dalam pusingan 16 terakhir pada 18 atau 19 Ogos ini.

“Kami tidak boleh berhenti di sini, kami akan memberikan segala-galanya.

“Itulah yang kami lakukan, jika anda percaya anda boleh melakukannya, jika anda percaya anda mampu mencipta dan mencapainya.

“Jadi, kami tidak boleh berhenti bermimpi dan mencapai impian kami dan percaya akan segala-galanya.

“Segalanya boleh berlaku jika kita meletakkan seluruh jiwa dan raga.

“Kerana itulah saya menjadi jurulatih, kerana kegilaan ini.”