Pemilik Melaka United, Datuk Seri Justin Lim mengesahkan bahawa kontrak jurulatih Risto Vidakovic ditamatkan serta-merta, selepas hanya mengharungi 4 perlawanan Liga Super.
Ini selepas jurulatih kelahiran Bosnia & Herzegovina itu mendedahkan masalah tunggakan gaji yang membelenggu pasukan itu selepas tewas 1-0 kepada Sabah minggu lalu.
Menurut Justin, surat makluman penamatan kontrak selaku jurulatih telah ditandatanganinya dan diserahkan Vidakovic kelmarin.
“Khidmat dia (Vidakovic) bersama Melaka ditamatkan bermula kelmarin susulan prestasi pasukan yang hanya mengutip satu mata selepas empat perlawanan dalam Liga Malaysia musim ini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
“Penamatan kontrak ini adalah hasil persetujuan bersama kedua-dua pihak.”
Penolong ketua jurulatih, Mohd. Asri Ninggal diberi tugas bagi melatih pasukan sebelum pelantikan baharu ketua jurulatih diumumkan dalam masa terdekat.
Vidakovic, 53, menjadi jurulatih pertama yang ditamatkan kontrak musim ini selepas Melaka mencatatkan 3 kekalahan dan satu seri, sekali gus menghuni di tangga ke-10 dengan satu mata.