Malaysia Berita

FAM hanya beri amaran keras kepada Rizal Ghazali

Rizal Ghazali hanya diberi amaran keras agar tidak mengulangi tindakannya yang enggan melapor diri ke kem latihan pusat pasukan kebangsaan pada 14 Mac lalu.

Ini selepas Rizal yang diletakkan dalam senarai bersedia pada asalnya telah dipanggil oleh ketua jurulatih negara, Kim Pan-gon bagi menggantikan Syahmi Safari yang meminta pengecualian untuk tidak melapor diri ke kem latihan pusat kerana menyambut kelahiran anak kembar tiganya.

Disebabkan ketidakhadiran Rizal, Pan-gon telah memanggil Ahmad Khuzaimi Piee untuk menggantikan tempat Syahmi.

Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar berkata, surat amaran telah dikeluarkan oleh FAM.

“Hormati panggilan skuad kebangsaan jika tidak mahu dikenakan sebarang tindakan,” katanya dalam kenyataan.

Katanya, Rizal sudah pun menjawab surat tunjuk sebab kepada FAM.

“Sebagai peringatan tambahan, Rizal diingatkan agar tampil melapor diri terlebih dahulu dan mengemukakan sebab kepada pengurusan pasukan kebangsaan seandainya ada alasan kukuh untuk menarik diri daripada panggilan kem latihan pada masa akan datang.”

Menerusi gambar-gambar yang dimuat naik pasukan Sabah, Rizal sudah berada di negeri itu sejak seminggu lalu.

Antaranya, beliau dilihat bermain badminton bersama rakan sepasukan dan terbaru beliau dilihat menjalani latihan seperti biasa.