Liga Super Malaysia Berita

[VIDEO] JDT ‘baham’ Sarawak United, Kedah dan Sabah turut raih kemenangan

Dua gol dijaringkan oleh Bergson Da Silva dan dua gol lagi disumbangkan oleh Fernando Forestieri membantu juara bertahan Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) meneruskan permulaan sempurna bagi musim 2022 apabila membelasah Sarawak United, 6-0, malam tadi.

Ini selepas skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 1-0 ke atas Pulau Pinang dalam perlawanan pembukaan liga minggu lalu.

JDT mendahului apabila bola tolakan pemain tengah, Nazmi Faiz Mansor menemui Forestieri yang melepaskan sepakan leret dari sebelah kiri padang untuk meletakkan pasukannya di depan 1-0 pada minit ke-15.

Bergson kemudian menjaringkan gol kedua JDT apabila sepakan volinya menerjah masuk gawang Sarawak United, berpunca daripada hantaran pemain sayap, Arif Aiman Mohd Hanapi pada minit ke-39, sekali gus memberikan mereka kelebihan dua gol di separuh masa pertama.

Keadaan bertambah buruk buat Sarawak United di separuh masa kedua apabila pemain pertahanannya, Raja Imran Shah Raja Amin dilayangkan kad merah selepas mengasari Safawi Rasid pada minit ke-60. Selang dua minit kemudian, Bergson menambah gol menerusi sepakan dari jarak dekat.

Pintu gol Sarawak United terus bocor menerusi tandukan pertahanan JDT, Carli De Murga hasil sepakan sudut Arif Aiman, diikuti jaringan Safawi yang menolak masuk gol ke-5 JDT pada minit ke-80.

Forestieri melengkapkan kemenangan gemilang pasukannya dengan jaringan gol ke-6 pada minit-84, sekali gus JDT kekal sebagai pendahulu liga dengan 6 mata daripada 2 perlawanan setakat ini.

Bagaimanapun, naib juara Liga Super 2021, Kedah mengekori rapat di belakang JDT apabila turut meraih 6 mata setakat ini setelah bangkit daripada ketinggalan untuk menundukkan juara bertahan Piala Malaysia, Kuala Lumpur City, 3-2.

KL City mengejutkan tuan rumah apabila mendahului menerusi jaringan Zhafri Yahya pada minit ke-28.

Namun, kedudukan itu tidak kekal lama apabila tandukan Syafiq Ahmad menyamakan kedudukan buat Kedah, dalam 4 minit kemudian, dengan keputusan 1-1 kekal di separuh masa pertama.

Kedah mengambil masa lebih 20 minit di separuh masa kedua untuk menjaringkan gol kedua menerusi pemain sayap, Fayadh Zulkifli pada minit ke-67, sebelum Dennis Buschening meletakkan Kedah di kedudukan lebih selesa dengan gol ketiga pada minit ke-69.

Kedah dikejutkan dengan jaringan penyerang KL, Kevin Koudemba pada minit ke-87, namun kedudukan kekal 3-2 sehingga wisel penamat.

https://twitter.com/MFL_MY/status/1501583575182823425?s=20&t=GTfx9DMUlWPuRdUZVIJZPg

Sementara itu, Sabah di bawah kendalian Datuk Ong Kim Swee mencatatkan kemenangan pertama musim ini apabila menewaskan Petaling Jaya City FC, 3-1 di Kota Kinabalu.

Sabah membuka tirai jaringan menerusi tandukan pemain pertahanan, Jackson De Souza pada minit ke-15 sebelum Neto Pessoa menjaringkan gol kedua pada minit ke-35.

Jaringan S. Kumaahran membantu PJ City merapatkan jurang pada minit pertama masa kecederaan di separuh masa pertama namun pemain Indonesia, Saddil Ramdani menjaringkan gol ketiga, kira-kira tiga minit selepas separuh masa kedua bermula.

Keputusan 3-1 kekal hingga tamat perlawanan, dengan Sabah di tempat ketiga dalam Liga Super selepas dua perlawanan.