Jadual Liga Malaysia bagi musim 2022 menyaksikan beberapa perlawanan akan diadakan bermula jam 8.15 malam, berbanding 8.45 malam seperti musim-musim sebelum ini.
Ini selepas MFL berhasrat untuk mengadakan sepak mula lebih awal atas beberapa faktor termasuklah meningkatkan nilai komersial liga dan menarik lebih ramai penyokong untuk hadir ke stadium.
Berdasarkan jadual Liga Super, Liga Premier dan Piala FA, terdapat tiga waktu sepak mula yang akan diguna pakai iaitu sepak mula 7.30 malam untuk Sabah dan Sarawak, 8.15 malam dan 9 malam.
Minggu pertama Liga Super menyaksikan dua perlawanan yang akan bermula pada 8.15 malam iaitu Sarawak United melawan Kedah di Kuching dan Pahang melawan Terengganu di Kuantan.
Perlawanan antara Sabah dan Negeri Sembilan akan diadakan pada 7.30 malam, manakala KL City lawan Selangor, JDT lawan Pulau Pinang dan PJ City lawan Melaka United akan diadakan pada 9 malam.
Dalam minggu pertama Liga Premier, Terengganu II melawan UiTM FC dan JDTII melawan Kelantan akan bermula pada 8.15 malam, selebihnya akan beraksi pada 9 malam.
Ini termasuk perlawanan pusingan pertama Piala FA pada 11 Mac ini yang menyaksikan 8 perlawanan akan bermula pada 8.15 malam.
Bagi bulan Ramadan, hanya ada dua waktu sepak mula iaitu jam 9.15 malam dan 10 malam.
Namun, ada dua perlawanan melibatkan JDT ditunda dalam bulan Ramadan kerana terlibat dengan saingan AFC Champions League iaitu JDT melawan Selangor yang akan diadakan pada 24 Jun bermula pada 8.15 malam manakala perlawanan antara Melaka United dan JDT akan diadakan pada 2 Julai dan akan bermula pada 9 malam.
Pada masa sama, setiap minggu perlawanan liga menyaksikan sekurang-kurangnya satu perlawanan akan diadakan pada 8.15 malam.
Hanya minggu perlawanan terakhir Liga Super dan Liga Premier yang akan memulakan sepak mula secara serentak pada jam 9 malam.