Liga Super Malaysia Berita

FAM mahu pastikan tiada kontroversi mutu pengadil dalam Liga Malaysia 2022

FAM mahu memastikan tiada langsung kontroversi membabitkan mutu pengadilan menjelang Liga Malaysia musim 2022.

Liga Malaysia akan bermula dengan Piala Sumbangsih antara JDT dan KL City di Stadium Sultan Ibrahim, Sabtu ini.

“Dalam 132 perlawanan tahun 2021, hanya 12 pasukan buat aduan,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk S Sivasundram kepada Bernama.

“Dan daripada jumlah itu…lima daripada satu pasukan, empat daripada satu pasukan serta tiga lagi daripada pasukan berasingan.

“Lima dan empat aduan itu pula daripada pasukan yang menang, jadi dari segi peratusan baru sembilan peratus aduan.

“Kita pun ada bagi pengadil kursus, memang FAM nak buat zero issue. FAM nak pastikan dan pada masa sama kita nak pasukan pun bantu FAM terutama pegawai dan pemain, di mana pengadil jalankan tugasnya.”

Beliau juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pengadil sekiranya gagal mengendalikan perlawanan dengan sebaiknya, di mana hukuman penggantungan bakal menanti pengadil yang kurang memuaskan.

“Pengadil buat salah kita memang akan gantung, FAM cukup serius berkenaan perkara itu.

“Seperti tahun lepas ada pengadil yang digantung tiga bulan, ada juga pengadil yang diturunkan bawah liga ke Piala Presiden dan keluar daripada liga profesional.”

“Kalau tiga bulan (gantung) sudah keras…lagi tiga bulan akan turun liga amatur pun sudah keras.

“FAM sentiasa serius dan FAM sentiasa ingatkan pengadil kita yang mereka adalah seorang hakim dalam padang, dan pasukan sudah keluar duit berjuta. Macam mana pun kamu (pengadil) kena buat yang terbaik.”