Malaysia Berita

7 Akademi Tunas NFDP akan dibuka tahun ini

Sebanyak tujuh lagi Akademi Tunas, platform melahirkan atlet pelapis menerusi Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP) akan dibuka tahun ini.

Kementerian Belia dan Sukan sedang mengenal pasti lokasi sesuai untuk akademi berkenaan dan terbuka menerima cadangan daripada mana-mana pihak.

“Secara keseluruhan tahun ini Majlis Sukan Negara (MSN) sasar untuk mempunyai 62 Akademi Tunas bagi melatih lebih ramai peserta,”kata Timbalan Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ti Lian Ker kepada Bernama.

“Setakat hari ini kita sudah mempunyai 55 akademi.

“Dengan pembukaan beberapa lagi akademi kita dapat mengesan lebih banyak bakat dan berharap ibu bapa dapat menyokong dan membantu minat anak mereka terhadap sukan bola sepak ini.”

Yang terbaru, Akademi Tunas Raub merupakan yang ke-55 di Malaysia dan keempat di Pahang telah memulakan pencarian bakat, sekali gus menjadikan ia sebagai hab bola sepak bagi kanak-kanak yang berumur tujuh hingga 12 tahun yang berada di sekitar Raub, Lipis dan Bentong.

Lebih 200 kanak-kanak telah menghadiri sesi uji bakat berkenaan sebelum 120 dipilih ke peringkat seterusnya iaitu memulakan latihan di akademi berkenaan.

Setakat ini, seramai 28 orang pelatih dan 3 orang jurulatih AMD berasal dari Pahang.

AMD juga telah melahirkan beberapa nama besar pemain muda yang berbakat dari Pahang seperti Arif Aiman yang kini beraksi bersama pasukan JDT dan juga Ahmad Zikri Khalili yang kini bersama pasukan Selangor.