Malaysia Berita

FAM: Maksimum 20,000 penonton dibenarkan hadir saksikan skuad Harimau Malaya beraksi

Sebanyak 50 peratus kapasiti stadium atau maksimum 20,000 penyokong dibenarkan hadir bagi menyaksikan skuad kebangsaan beraksi dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

Kebenaran itu diluluskan oleh Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Ini selepas AFC mengumumkan bahawa Malaysia telah dipilih sebagai satu daripada enam tuan rumah dalam pusingan akhir kelayakan Piala Asia 2023.

“Kita akan terus pantau keadaan COVID-19 semasa dan mempunyai masa sehingga Jun,” kata Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin kepada Bernama.

“Sekiranya keadaan mengizinkan, kita akan memohon KKM dan MKN untuk membenarkan lebih ramai penyokong masuk ke stadium untuk menyaksikan perlawanan.”

Beliau bagaimanapun mengakui, bilangan kes COVID-19 masih tinggi dan pematuhan prosedur operasi standard adalah penting dalam menjamin keselamatan dan kesihatan semua pemain.

AFC turut menyenaraikan India, Kuwait, Kyrgyzstan, Mongolia dan Uzbekistan sebagai tuan rumah bagi kelayakan untuk menentukan baki 11 pasukan yang akan mara ke pusingan akhir yang akan diadakan di 10 bandar di China.

Kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia pada edisi Kuwait 1980, manakala pada 2007, skuad Harimau Malaya tampil sebagai tuan rumah bersama Indonesia, Thailand dan Vietnam.

Perlawanan persahabatan menentang Filipina pada 23 Mac dan Singapura pada 26 Mac adalah ujian awal buat Kim Pan-gon sebagai persediaan menjelang pusingan kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun ini.