Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Pembinaan stadium, pusat latihan Kedah tidak libatkan dana kerajaan negeri

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa pembinaan stadium baharu dan pusat latihan yang akan menempatkan pasukan Kedah di Sungai Petani tidak melibatkan dana kerajaan negeri.

Ini selepas dokumen Club Prospectus 2022 menyatakan bahawa Kedah mempunyai projek masa hadapan bagi membina sebuah stadium baharu bernilai RM70 juta serta sebuah tempat latihan yang membabitkan kos RM20 juta.

Kata Sanusi, kerajaan negeri hanya menyediakan tapak tanah untuk dibangunkan melalui Majlis Perbandaran Sungai Petani (MPSPK), namun dana pembangunan akan disediakan pihak pengurusan pasukan Kedah.

Katanya, Sungai Petani dipilih sebagai lokasi pembinaan stadium kerana kedudukannya yang strategik di tengah-tengah negeri Kedah.

“Beberapa tahun lalu, MPSPK dan kerajaan negeri telah membuat pengambilan tanah di satu kawasan di Sungai Petani untuk buat stadium,” kata Sanusi kepada Bernama.

“Tapi duit untuk buat stadium itu tidak ada, jadi tanah itu terbiar begitu lama.

“Bila KDA FC cadang untuk membina stadium dan pusat latihan sendiri, saya kata boleh dijalankan secara usaha sama antara Kedah dengan MPSPK.

“Tanah MPSPK punya, dana untuk pembinaan daripada KDA FC dan KDA FC ini ada cara-cara dia untuk buat pengumpulan dana bagi pembinaan stadium.”

Jelas Sanusi, cadangan pembinaan stadium itu akan dibawa ke mesyuarat Majlis Kerajaan Negeri Kedah untuk diperhalusi dan diluluskan dan berharap ia dapat direalisasikan memandangkan projek itu bukan hanya akan memanfaatkan Kedah tetapi juga masyarakat setempat.

Katanya, reka bentuk stadium tersebut telah pun siap yang bukan sahaja melibatkan pembinaan stadium utama sebagai venue perlawanan malah turut menyediakan kemudahan pusat latihan dan padang terbuka untuk digunakan orang ramai.

“KDA FC kena buat padang terbuka untuk orang ramai sebab tanah itu tanah MPSPK, jadi orang nak beriadah, bersukan boleh gunakan padang terbuka itu.”