Malaysia Berita

Kim Pan-gon: Beri kami masa bina asas kukuh skuad Harimau Malaya

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Kim Pan-gon meminta semua pihak supaya memberikan beliau ruang dan peluang untuk membina asas yang kukuh dalam skuad Harimau Malaysia.

Beliau menganggap jawatan yang dipegang sebagai ketua jurulatih pasukan kebangsaan Malaysia adalah satu penghormatan yang cukup tinggi.

“Saya amat sedar bahawa kita mempunyai matlamat untuk menjangkaui tahap Asia Tenggara,” katanya ketika diperkenalkan buat pertama kali sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia.

“Matlamat inilah yang saya dan pasukan saya ini berada di sini untuk mencapainya.

“Saya berjanji bahawa saya dan pasukan saya ini akan cuba sedaya upaya untuk membawa pasukan kebangsaan Malaysia ke peringkat seterusnya.

“Saya percaya pasukan kebangsaan Malaysia mempunyai potensi yang besar.

“Saya berharap agar barisan kejurulatihan ini diberi masa untuk kami membina asas kukuh terlebih dahulu dan bergerak ke hadapan ke arah matlamat kami dengan memberi tumpuan kepada gambaran yang lebih besar.

“Seperti yang saya tahu bahawa moto negara Malaysia ialah “perpaduan adalah kekuatan”.

“Saya percaya jika semua boleh bersatu bersama-sama kami dengan sokongan dan kepercayaan anda semua, kita akan berjaya untuk mencapai matlamat kita.”

Pan-gon senarai barisan kejurulatihan skuad Harimau Malaya yang baharu di bawah kendaliannya iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Sementara, seorang lagi penolong jurulatih iaitu dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan-gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap beberapa calonnya.

Skuad Harimau Malaya di bawah kendalian Pan-gon ini dijadual bertemu Filipina pada 23 Mac 2022 dan bertemu Singapura pada 26 Mac 2022, kedua-duanya di Singapura sebagai persiapan dan persediaan pasukan menjelang Pusingan Akhir Kelayakan Piala Asia 2023 dari 8 hingga 14 Jun 2022.