Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Kedah rancang bina stadium baharu tahun ini

Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah, Datuk Seri Sanusi Md Nor mengesahkan bahawa pihaknya merancang untuk membina sebuah stadium baharu tahun ini.

Ini bermakna stadium baharu itu akan menggantikan Stadium Darul Aman, yang telah digunakan sejak siap pada 1962.

Katanya, stadium itu akan dibina di Sungai Petani dan akan menyediakan pelbagai kemudahan serta pusat latihan pemain, dengan meletakkan harapan agar pembinaan stadium dapat dimulakan pada tahun ini.

“Kita sedang sediakan satu kawasan di Sungai Petani untuk bina satu stadium baharu untuk pusat latihan dan kemudahan pasukan,” kata Sanusi kepada Bernama.

“Saya yakin usaha yang sedang kita lakukan ini suatu hari nanti, kita akan menyamai JDT…walaupun tidak dapat menewaskan lagi, seri pun ok.”

Kedah menerusi laman web rasmi mereka memuat naik satu dokumen Club Prospectus 2022 yang menyatakan bahawa kelab itu mempunyai projek masa hadapan bagi membina sebuah stadium baharu bernilai RM70 juta.

Selain stadium, sebuah tempat latihan akan dibina dengan membabitkan kos RM20 juta.