Liga Super Malaysia Berita

Sanusi: Sasaran kita atasi JDT, Kedah akan jadi juara Liga Super

Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Sanusi Md Nor meletakkan sasaran berani apabila mahu Kedah mengatasi JDT dalam saingan Liga Malaysia 2022.

Katanya, sasaran itu diletakkan selepas Kedah menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-2 berturut-turut pada 2020 dan 2021.

Malah, beliau berpendapat Kedah mampu menyaingi JDT jika mempunyai kewangan kukuh seperti JDT.

“Kita punya resepi adunan cukup hebat,” kata Sanusi kepada Berita Harian.

“Orang Kedah ini kalau kata pulun itu memang habislah, tak ada apa dah halangan di depan. Tinggal lagi masalah itu sahaja (dana).

“Saya kata kewangan ini macam garamlah, dia punya cita rasa cukup cantik.

“Saya rasa JDT bukan lawan kita kalau cukup (dana). Sasaran kita untuk atasi JDT tahun ini, Insya-Allah, bukan mustahil. Kita akan jadi juara Liga Super.”

Musim ini, Kedah kehilangan beberapa pemain utama seperti kapten pasukan, Baddrol Bakhtiar, Rizal Ghazali, Renan Alves, Rabih Ataya, Kpah Sherman dan Kipre Tchetche.

Kekosongan itu diisi oleh import baharu, pertahanan Marc Alves, pemain tengah Dechi Marcel, penyerang Ronald Ngah, penyerang Dennis Buschening dan Al-Hafiz Harun.