Malaysia Berita

Safawi Rasid gembira dapat kembali ke prestasi sebenar

Safawi Rasid mengakui gembira dengan prestasinya selepas menjaringkan hatrik untuk membantu Malaysia menewaskan Laos 4-0 dalam saingan Kumpulan B Piala AFF 2020 semalam.

Malah pemain berusia 24 tahun itu kini mendahului senarai penjaring terbanyak dengan empat gol, selepas menjaringkan gol pertamanya ketika Malaysia menewaskan Kemboja 3-1 dalam perlawanan pembukaan.

“Saya sebelum ini tak pernah saja-saja cakap kepada orang termasuk media bahawa saya seorang bintang handalan,” katanya kepada Bernama.

“Dengan (sokongan) jurulatih dan rakan-rakan buatkan saya kembali. Terima kasih kepada Allah izinkan saya kembali ke prestasi sebenar.

“Tapi saya juga tahu saya kena terus tingkatkan tahap permainan saya untuk bantu pasukan dan kami akan cuba berikan yang terbaik pada perlawanan akan datang.”

Prestasi Safawi turut dipuji Tan Cheng Hoe dan berharap beliau dapat meneruskan momentum.

“Tahniah kepada Safawi kerana sekain lama bekerja keras bersama skuad kebangsaan dan hari ini ia terbukti menerusi jaringan hatrik.

“Dia (Safawi) ada keistimewaan tersendiri tetapi dia mesti teruskan kerja keras kerana masih banyak boleh diperbaiki.”

Pada masa sama, Cheng Hoe mengakui kemenangan ke atas Laos amat penting sebagai motivasi bagi menghadapi cabaran lebih getir apabila Malaysia akan berdepan juara bertahan Vietnam, Ahad ini.

“Satu lagi aksi hebat daripada pemain dan kami yakin mampu memperoleh tiga mata.

“Ia suntikan semangat untuk pasukan menghadapi perlawanan seterusnya. Sebagai jurulatih, saya percaya pemain mesti lebih tenang pada permulaan perlawanan dan diharapkan kami akan terus bertambah baik.”