Malaysia Berita

Piala AFF: Harimau Malaya lumpuh, Cheng Hoe mungkin panggil pemain baharu

Skuad Harimau Malaya lumpuh sebelum perlawanan pembukaan saingan Piala AFF 2020 menentang Kemboja yang akan berlangsung di Stadium Bishan petang ini.

Ini apabila penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan pemain tengah, Faisal Halim didapati positif COVID-19.

Pengurus skuad kebangsaan,Datuk Mohd Yusoff Mahadi berkata, kedua-dua pemain tersebut didapati positif dalam ujian saringan masuk ke Singapura di Lapangan Terbang Changi pada Jumaat lalu, namun kesemua pemain lain tidak dijangkiti.

Katanya, dua pemain berkenaan telah diarahkan menjalani kuarantin selama 10 hari mengikut protokol Kementerian Kesihatan Singapura, dengan ujian COVID-19 dilakukan pada setiap hari.

“Kita masih sedang membincangkan mengenai keputusan memanggil pemain lain menggantikan dua pemain ini, kerana terdapat satu posisi yang agak kritikal,” katanya kepada Bernama.

“Cheng Hoe dijangka membuat keputusan.”

Bagaimanapun, Setiausaha Agung FAM, Mohd Saifuddin Abu Bakar mengesahkan bahawa jika status dua pemain berkenaan menjadi negatif, mereka boleh menyertai pasukan dengan serta-merta.

“Jika ujian selanjutnya bertukar status kepada negatif COVID-19, maka mereka akan dibenarkan untuk kembali menyertai aktiviti bersama pasukan dengan serta-merta dan juga dapat beraksi pada baki kejohanan ini,” katanya menerusi satu kenyataan rasmi.

Cheng Hoe yang menyenaraikan 24 pemain ke Singapura, kini hanya mempunyai 21 pemain yang mampu beraksi hari ini.

Pemain berdarah kacukan Malaysia-Belgium, Dion Cools dijangka hanya menyertai skuad kebangsaan sebelum perlawanan terakhir peringkat kumpulan bertemu Indonesia pada 19 Disember ini.