Malaysia Berita

Piala AFF: Harimau Malaya cemerlang, tewaskan Kemboja pada perlawanan pembukaan

Skuad kebangsaan Malaysia cemerlang pada perlawanan pembukaan Kumpulan B Piala AFF 2020 apabila menewaskan Kemboja 3-1 di Stadium Bishan, Singapura petang tadi.

Skuad kendalian Tan Cheng Hoe mendahului pada minit ke-23 menerusi sepakan penalti Safawi Rasid yang merembat ke bahagian kanan gawang, sekali gus memperdayakan Keo ke arah bertentangan.

Penalti itu dihadiahkan pengadil Shukri Hussain Alhunfush apabila Ken Chansopheak mengasari Akhyar Rashid dalam kotak penalti.

Akhyar terus beraksi cemerlang apabila menjaringkan gol kedua hasil hantaran jauh daripada Syafiq Ahmad dengan memperdayakan dua pemain pertahanan Kemboja, sebelum merembat masuk bola ke dalam gawang pada minit ke-60.

Pemain gantian, M. Kogileswaran Raj melengkapkan kemenangan Harimau Malaya apabila menyudahkan hantaran silang pendek Luqman Hakim Shamsudin pada minit ke-79.

Kemboja meraih gol sagu hati hasil jaringan penalti Sath Rosib pada minit ke-90, selepas Khairul Fahmi dipersalahkan dan dilayangkan kad kuning kerana menendang Sath ketika menangkap bola hantaran tinggi dalam kotak penalti.

Kemenangan itu melegakan skuad Harimau Malaya yang terpaksa turun tanpa khidmat penjaga gol, Khairulazhan Khalid dan pemain tengah Faisal Halim, yang dikuarantin kerana positif Covid-19 pada Jumaat lalu.

Skuad Harimau Malaya selepas ini dijadualkan bertemu Laos pada 9 Disember, Khamis ini.