Malaysia Berita

Tan Cheng Hoe beri sebab mengapa beberapa pemain JDT tidak dipanggil

Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe menjelaskan bahawa beliau membuat keputusan untuk tidak memanggil beberapa pemain berprofil tinggi Johor Darul Ta’zim (JDT) adalah kerana mereka perlu berehat.

Ini selepas penjaga gol JDT, Farizal Marlias serta pertahanan Matthew Davies dan La’Vere Corbin-Ong tidak ada dalam senarai 28 pemain dipanggil menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan menjelang Piala AFF 2020.

Malah, pemain tengah Nazmi Faiz Mansor dan Arif Aiman Hanapi juga tidak dipanggil kali ini.

“Barisan kejurulatihan telah meneliti pelbagai aspek,” kata Tan Cheng Hoe kepada Bernama semalam.

“Sememangnya mereka sudah menjadi tonggak utama skuad kebangsaan dan kita tahu kualiti mereka. Mereka hadapi musim agak panjang dan tiada rehat dengan Kelayakan Piala Dunia, Liga Juara-Juara AFC, Liga Super dan Piala Malaysia.

“Ketiadaan mereka juga beri peluang kepada pemain lain supaya kita boleh dapatkan kelompok pemain untuk menghadapi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2023 nanti.”

Pada masa sama, Cheng Hoe turut membuat keputusan untuk tidak membawa Arif Aiman selepas mengadakan perbincangan bersama barisan kejurulatihan JDT.

“Kita terpaksa rehatkan Arif Aiman, bukan kita sengaja tinggalkan beliau. Kalau kita lihat beliau pemain muda yang berpotensi dan ia dapat dilihat dari segi permainannya. Sudah tentu pemain muda ini kita tidak boleh terlebih guna atau dia mungkin tidak dapat beraksi dengan baik akibat keletihan.

“Jika lihat pemain muda ini, dia sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, beliau perlukan rehat. Saya pasti untuk tahun depan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023 beliau akan bersedia.”

Dalam pada itu, Cheng Hoe menjelaskan, beberapa pemain tidak dapat dipanggil akibat kecederaan adalah Azam Azih yang mengalami cedera lutut dan Syamer Kutty Abba (pangkal paha), selain Brendan Gan yang sedang dalam proses pemulihan akibat kanser testis.

Terdahulu, Cheng Hoe mengumumkan senarai 28 pemain untuk menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan bermula 22 Nov ini, sebagai persediaan menghadapi Kejuaraan Piala AFF 2020 di Singapura dari 5 Dis hingga 1 Jan tahun depan.

Senarai tersebut menggabungkan kombinasi pemain berpengalaman seperti Aidil Zafuan Abd Radzak, Baddrol Bakhtiar dan Khairul Fahmi Che Mat, serta pemain muda antaranya Mukhairi Ajmal, Azri Ghani dan Luqman Hakim Shamsudin.

Turut tersenarai adalah penyerang JDT yang juga pemain naturalisasi negara Guilherme De Paula serta Shahrul Mohd Saad dan Shahrel Fikri Md Fauzi, yang disisihkan daripada pasukan sebelum ini akibat kecederaan.

Malaysia selaku naib juara edisi 2018 diundi dalam Kumpulan B bersama-sama juara bertahan Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Laos.

Malaysia yang menyasarkan final buat kali kedua berturut-turut akan memulakan perlawanan pembukaan berdepan Kemboja pada 6 Dis diikuti Laos (9 Dis), Vietnam (12 Dis) dan Indonesia pada 19 Dis.