Malaysia Berita

Yusoff Mahadi: Tidak adil salahkan De Paula sahaja, bola tak banyak sampai kepadanya

Timbalan Presiden FAM, Datuk Mohd Yusoff Mahadi enggan menyalahkan sepenuhnya Guilherme de Paula di atas kegagalannya menjaringkan lebih banyak gol untuk skuad kebangsaan sejak menjadi pemain naturalisasi negara.

Ini selepas De Paula hanya menjaringkan satu gol menerusi sepakan penalti ketika bertemu Vietnam dalam pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jun lepas.

Bagaimanapun, Yusoff mempertahankan De Paula dan menganggap pemain itu perlu diberikan lebih banyak masa untuk menyesuaikan diri.

“Kalau tengok perlawanan-perlawanan lepas, tak banyak bola sampai ke dalam kawasan lawan kita,” katanya kepada Bernama.

“Jadi nak menyalahkan De Paula seorang pun tidak adil. Tetapi bagi saya episod itu telah berlalu dan De Paula kena buktikan dia pilihan tepat menjadi penyerang negara.

Yusoff juga menganggap, beberapa perkara seperti soal kerajinan De Paula berlari di padang tidak perlu dipersoalkan kerana peranan sebenarnya adalah menjaringkan gol.

“Kalau tiap-tiap perlawanan dia tak boleh jaringkan gol, tak ada makna lah dia boleh membantu kita.

“Sebab kita ambil dia khas bagi mendapatkan gol, jadi itu menjadi tanggungjawabnya.”

Pada masa sama, Yusoff berharap prestasi De Paula menjaringkan gol dalam Liga Malaysia sebelum ini dapat dijelmakan di peringkat antarabangsa.

Malaysia akan berdepan Jordan di Stadium King Abdullah II di Amman pada 11 malam ini dan Uzbekistan di Stadium Antarabangsa Amman pada 9 Oktober.